PENDAHULUAN
Kekeliruan umat Islam memahami peranan dan fungsi bai`ah dalam kehidupan sememangnya memerlukan pendedahan dan penjelasan agar segala kekaburan dan salahfaham terhadap tuntutan bai`ah ini terjawab. Kekurangan dan kelemahan dalam memahami dalil-dalil yang berkaitan bai`ah antara sebab yang menyumbang kepada salahfaham ini.
Masyarakat Islam awalan adalah masyarakat Islam yang sebenarnya menjadi contoh kepada pembentukan masyarakat Islam pada setiap zaman dan tempat. Mereka adalah masyarakat yang tersusun dan berpaut secara padu di antara satu sama lain sebagai binaan yang kuat-menguat di antara bahagian-bahagiannya. Penyusunan ini dibentuk dengan perlaksanaan ukhuwwah di atas pertautan hati yang saling cinta mencintai dan di atas perlaksanaan baiah iaitu ikrar kesetiaan di dalam melaksanakan tanggungjawab bagi mencapai sesuatu tujuan perjuangan.
Melalui penulisan ini, sedikit gambaran secara umum tentang pemahaman konsep bai`ah melalui definisi iaitu dari segi bahasa dan istilah. Seterusnya melalui pendalilan daripada al-Quran dan as-Sunnah yang memberi gambaran tentang tuntutan bai`ah yang sebenarnya. Silapfaham tentang pemahaman dalil bai`ah telah menyebabkan keadaan umat Islam seperti ‘kehilangan arah’. Bagaimana tanpa satu jemaah yang umum iaitu sistem khilafah, bai`ah ini harus dilaksanakan? Kepada siapa bai`ah patut diberikan dan apakah kesan selepas termeterainya bai`ah ? Jadi kita
Bai`ah di dalam masyarakat Islam menjadi satu kepentingan untuk membina jemaah yang teguh dan padu yang setia dan iltizam dengan tanggungjawab dan keazaman untuk menghayati Islam dan mempertahankannya kerana peranan bai`ah tidak dapat dipermudahkan dan tuntutannya merupakan kemestian di dalam usaha menyusun dan menggerakan kembali masyarakat Islam.
Dari sudut bahasa
Pengertian bai`ah boleh dilihat dari sudut bahasa dan istilah. Dari sudut bahasa ia membawa banyak pengertian yang mana asal perkataan bai`ah ini dari perkataan باع, يبيع, بيعا))[1]. Ia membawa makna transaksi jual beli, pemberian kekuasaan dan ketaatan, perjanjian dengan satu-satu pihak[2] dan semestinya bai`ah ini berlaku antara dua pihak kerana apabila disebut transaksi ia memerlukan komitmen antara dua pihak mempersetujui dan bersedia untuk mematuhi apa yang telah disepakati dalam sesuatu urusan itu. Tetapi transaksi yang dinyatakan di sini lebih merujuk kepada situasi jualbeli.
Apabila menyebut jualan pastilah lawannya pembelian[3]. Sebagaimana yang pernah disebut dalam sepotong hadis :
Maksudnya :
“ Jangan ada di antara kamu yang meminang terhadap pinangan orang lain dan juga jangan ada di antara kamu yang menjual atas jualan orang lain.
Dapat dilihat di sini perkataan al-Bay’ (jual beli) menggambarkan :
1. Wujud dua pihak yang berakad jual beli.
2. Wujud dua perkara yang menjadi pertukaran di antara dua pihak di dalam `aqd.
3. Adanya keredhaan antara dua pihak yang berakad di mana kedua-duanya memahami di mana sebelah pihak memberi wang atau nilai barang dan sebelah pihak lagi akan menyerahkan barang yang telah dipersetujui semasa `aqd.
Secara umumnya, al-bai`ah ini difahami sebagai transaksi jual beli iaitu dengan cara berjabat tangan yang menyatakan bahawa akad yang telah dipersetujui oleh kedua pihak. Namun ada perbezaan dari segi melihat bai`ah dari skop kepimpinan atau oragnisasi kerana transaksi yang berlaku antara dua pihak melahirkan tuntutan-tuntutan yang perlu dipenuhi antara keduanya selepas bai`ah dilakukan berbeza dengan konsep jualbeli yang berlaku dalam tempoh tertentu seperti semasa akad berlangsung atau dalam tempoh jaminan.
Dari sudut Istilah
Menurut Ibn Khaldun, bai`ah merupakan perjanjian untuk ketaatan. Tokoh politik ini meletakkan perjanjian yang berlaku itu ialah perjanjian antara pemimpin dan rakyat. Rakyat menyerahkan urusan mereka kepada pemimpin dan mereka akan mentaati arahan pemerintah yang berkait dengan urusan yang telah mereka amanahkan kepada pemimpin samada arahan itu disukai atau tidak selagi ianya selari dengan tuntutan syar`i.[6] Ibn Khaldun melihat bai`ah dari sudut perjanjian rakyat dan pemimpin yang mana pernah disebut dalam hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh `Ubadah bin as-Somit :
“ Kami membai`ah Rasullah s.a.w agar kami mendengar dan mentaati (perintahnya), baik dalam hal yang kami suka atau yang kami benci dan hendaklah kami tidak merebut kekuasaan ini dari mereka yang berhak .
Sememangnya mudah untuk kita menurut perintah dalam keadaan kita bersedia dan senang tetapi dalam keadaan sebaliknya belum tentu lagi kita boleh menunaikannya maka di sinilah peranan bai`ah ini menuntut pengikut taat dalam keadaan yang disukai atau yang dibenci selagi ianya selari dengan syara’.[7]
Tuntasnya, apabila menyentuh persoalan bai`ah, ia menyatakan tentang transaksi antara dua pihak yang mana secara umumnya dalam konteks jualbeli dan dalam skop yang lebih luas lagi ia menyatakan transaksi antara pemimpin dan rakyat yang menekankan konsep ketaatan dan kepatuhan kepada pemimpin secara tidak mutlak sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Quran :
Firman Allah s.w.t :
" يايها الذين ءامنوا أطيعوا الله واطيعوا الرسول واولى الامر منكم فإن تنازعتم فى شئ فروده إلى الله والرسول........"
“ Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatialh RasulNya dan ulil amr di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah)…….”[8]
Menurut al-Quran :
Persoalan mengenai bai`ah ini ada dinyatakan pada banyak tempat dan di sini dikemukakan beberapa ayat yang sudah mencapai maksud perbincangan kita sebelum ini.
(1) Firman Allah s.w.t :
" إن الله اشترى من المؤمنين أنفسهم وأموالهم بأن لهم الجنة يقاتلون فى سبيل الله فيقتلون ويقتلون وعدا عليه حقا فى التوراة والإنجيل والقرأن ومن أوفى بعهده من الله فاستبشيروا ببيعكم الذي بايعتم به وذلك هو الفوز العظيم "
“ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yag benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) dari Allah? Maka gembiralah dengan jualbeli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar ”.[9]
Ayat di atas menyentuh konsep bai`ah secara umunya iaitu penekanan konsep jualbeli. Kita dapat lihat di sini konsep transaksi yang berlaku antara dua pihak yang mana tawaran yang dibuat bukanlah tawaran percuma tetapi memerlukan komitmen orang mukmin apabila mereka sedia membayar tersebut dengan jiwa dan harta. Ia merupakan tawaran yang tetap iaitu tidak ada berlaku pengkhianatan daripada mereka yang terlibat kerana Allahlah yang paling menepati janji. Jihad akan terus berlangsung sampai kiamat kerana agama itu semata-semata untuk Allah.
(2) Firman Allah s.w.t :
" إن الذين يبايعونك إنما يبايعون الله يد الله فوق أيديهم فمن نكث فإنما ينكث على نفسه ومن أوفى بما عاهد عليه الله فسؤتيه أجرا عظيما "
“ Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka[10], maka barangsiapa yang melanggar janjinya nescaya akibat ia melanggar itu akan menimpa dirinya sendiri dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberinya pahala yang besar “.[11]
Melalui ayat di atas, pembalasan yang diberikan oleh Allah sekiranya pengkhianatan berlaku setelah mereka berjanji dan menyatakan kesediaan serta ketaatan tetapi sekiranya mereka menunaikan apa yang telah dimeterai maka mereka akan diberi ganjaran sebagaimana yang ditawarkan. Jelaslah di sini, kontrak itu merupakan amanah untuk ditunaikan dan sesiapa dari kedua-dua pihak itu melanggarnya maka tunggulah janji Allah yang pasti.
(3) Firman Allah s.w.t :
" لقد رضى الله عن المؤمنين إذ يبايعونك تحت الشجرة فعلم م فى قلوبهم فأنزل السكينة عليهم واثبهم فتحا قريبا "
“ Sesungguhnya Allah telah redha kepada orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka, lalu menurunkan ketenangan ke atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya). “[12]
Gambaran yang diberikan melalui ayat di atas iaitu semasa berlakunya perjanjian Hudaibiyah[13] yang menunjukkan keredhaan Allah ke atas orang mukmin yang berbaiah untuk membela saidina Uthman r.a hatta dengan nyawa mereka sekalipun. Sesungguhnya hanya Allah yang mampu menilai apa yang ada dalam hati mereka.
Menurut as-Sunnah :
Konsep bai`ah melalui as-Sunnah dapat kita lihat melalui praktik-praktik (sunnah fi`liyyah) yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. Diamati secara teliti, bai`ah-bai`ah yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah ini menunjukkan peranan pemimpin dan rakyat. Kekuasaan pemimpin yang ditonjolkan dan penetapan hak umat semasa berlangsungnya proses bai`ah ini.
(i) Ba`iah Aqabah pertama
Berlaku antara Rasulullah dan 12 orang wakil daripada Yathrib (Madinah). Isi perjanjian bai`atul ula ini lebih kepada perjanjian aqidah atau dikenali dalam buku-buku sirah sebagai perjanjian wanita kerana tiada tuntutan untuk melakukan peperangan kerana seruan Rasulullah s.a.w kepada mereka untuk berjanji mentaati Allah dan jangan sekali-kali menyekutukanNya, jangan mencuri, jangan berzina, jangan membunuh anak-anak kamu dan jangan menderhaka perintah Rasulullah ini semata-mata untuk melakukan kejahatan.
(ii) Bai`ah Aqabah kedua
Bai`ah juga bermaksud kesepakatan selain perjanjian setia sebagaimana yang berlaku pada bai`atul harb (bai`ah Aqabah ke-2). Seramai 73 orang lelaki dan 2 orang wanita[14] daripada pelbagai suku di Yathrib seperti suku Aus dan Khazraj telah menemui Rasulullah secara sulit semasa musim haji pada tahun selepas berlangsungnya bai`atul ula. Mereka membai`ah Rasulullah dengan erti kata lain mereka telah membuat perjanjian dan persepakatan untuk mempertahankan Islam. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :
" ابايعكم على أن تمنعوني مما تمنعون منه نساءكم وأبنءكم "[15]
“ Aku bai`ah kalian agar kalian melindungiku sebagaimana kalian melindungi isteri-isteri dan anak-anak kalian “.
Ibn Hisyam ada menyebut bahawa perjanjian Aqabah ke-2 ini berlaku tepat pada masanya kerana Allah telah memberi arahan untuk berperang. Selain isi kandungan pada perjanjian pertama sebelum ini, Rasulullah telah diizinkan untuk berperang dan berjihad sehingga ke titisan darah terakhir.
HUKUM BAIAH
Bai`ah merupakan kewajipan seluruh kaum muslimin samada lelaki atau wanita kerana bai`ah adalah metod untuk melantik dan mengangkat seorang ketua negara Islam. Proses perlantikan, penyerahan kuasa atau perlucutan jawatan seorang khalifah itu tanpa bai`ah maka ia merupakan anjuran syara’ berdasarkan syarat tertentu. Ia dapat dibuktikan melalui beberapa hadith dan ijmak sahabat.
(i) Hadith
Sabda Rasulullah s.a.w :
" من مات فى عنقه بيعة مات ميتة جاهلية " [16]
“ Barangsiapa yang mati tetapi di tengkuknya tiada bai`ah, maka dia mati dalam jahiliyyah “
Ini berdasarkan kaedah feqh :
" ما لا يتم الواجب إلا به فهو الواجب "[17]
“ Sesuatu yang tidak dapat disempurnakan yang wajib melainkan dengannya maka itupun menjadi wajib
(ii) Ijmak sahabat
Peristiwa perlantikan saidina Abu Bakar di Saqifah Bani Sa`idah oleh ahlul halli wa `aqdi yang telah dipersetujui juga oleh para sahabat menunjukkan para sahabat yang berijmak meletakkan kewajipan untuk melakukan bai`ah. Kefahaman mereka memilih bai`ah sebagai metod untuk melantik khalifah.
I) Islam
Merupakan syarat sah untuk melakukan bai`ah. Tiada bai`ah bagi orang kafir dan sekiranya mereka menjadi warganegara sebuah negara Islam, mereka hanya diminta untuk taat dan patuh kepada pemerintah. Bai`ah adalah hak orang Islam untuk melantik kepimpinan kerana sekiranya hak bai`ah ini diberikan kepada non-muslim sudah tentunya mereka akan menyatakan hak mereka untuk memilih calon pilihan mereka.
II) Baligh
Bai`ah itu adalah wajib untuk mengangkat seorang pemimpin maka selayaknya seorang mukallaf yang terlibat dalam proses ini bukan kanak-kanak sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :
" وكان قد أدرك النبي صلى الله عليه وسلم وذهيت به امه زينب بنت حميد إلى الرسول الله صلى الله فقالت : يا رسول الله بايعه فقال النبي صلى الله عليه وسلم : هو صغير فمسح رأسه ودعاله "
“ Abdullah bin Hisyam telah mengenali Rasulullah s.aw. Dia dibawa oleh ibunya (Zainab binti Humaid) lalu berkata ibunya : Wahai Rasulullah, Bai`ahlah dia! Nabi pun bersabda : “ Dia masih kecil, lalu baginda mengusap kepalanya, mendoakan kebaikannya “[18]
III) Berakal
Akal merupakan tempat bergantungnya pemberian kewajipan di dalam semua hukum. Maka rakyat yang telah mencapai tahap mukallaf sahaja diterima bai`ahnya.
IV) Kerelaan dan pilihan sendiri
Bai`ah merupakan asas kekuasaan umat untuk memilih pemimpin. Samada di zaman Rasulullah atau sahabat tiada paksaan dalam memberi bai`ah. Perkara yang akan diputuskan adalah masa depan rakyat dan negara maka seharusnya perlantikan seseorang kepala negara itu mendapat keabsahan dan diperakui oleh rakyat.
V) Merdeka
Bai`ah merupakan hak politik bagi orang Islam. Sebagaimana kanak-kanak dan orang tidak berakal atau kurang berakal ditolak keahlian mereka untuk memberi bai`ah maka kedudukan seorang hamba juga begitu. Hamba adalah milik tuannya dan dia tidak berhak untuk mewakili dalam membuat pilihan dan urusan hidupnya. Bagaimana golongan ini dapat menyertai proses bai`ah sedangkan mereka ini terikat dengan tuan yang memiliki mereka. Maka tertolaklah keahlian mereka untuk menyertai bai`ah.
PEMBAHAGIAN BAIAH
Pembahagian bai`ah ini berlaku pada zaman para sahabat tidak pada zaman Rasulullah. Bai`ah melalui dua proses iaitu proses melantik dan menerima bai`ah. Bai`ah pertama merupakan bai`ah penyerahan kuasa oleh mereka yang membai`ah khalifah manakala proses yang kedua ialah bai`ah yang diberi oleh kaum muslimin untuk ketaatan.
i) Bai`atul al-In`iqad/ bai`ah khusus
Khilafah adalah bai`ah yang diberi secara kerelaan bukan atas unsur paksaan. Maka tidak sah perlantikan seorang khalifah kecuali setelah berlaku bai`at al-In`iqad (penyerahan kekhalifahan). Peristiwa bai`ah ini berlaku pertama kalinya ketika perlantikan saidina Abu Bakar di Saqifah bani Sa`idah bin Ka`ab bin al-Khazraq[19] mereka yang hadir dalam pemilihan perlantikan khalifah ini ialah mereka yang dikenali sebagai ahlul halli wa al-`Aqdi[20] yang terbatas jumlahnya tetapi ada khilaf di kalangan ulama’ dalam penetapan jumlah anggota ahlul ikhtiyar ini. Bai`ah ini merupakan simbol kepada peralihan kepimpinan kerana bai`ah ini yang menjadi keutamaan berbanding bai`ah at-Tha`ah kerana penelitian yang ketat dibuat untuk memilih seorang calon khalifah.
ii) Bai`at at-Tha`ah/ bai`at umum
Bai`ah ini diberikan selepas selesai bai`ah khusus sebagaimana yang berlaku kepada khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah iaitu peristiwa di Saqifah bani Sa`idah, kaum muslimin membai`ah Abu Bakar hari berikutnya tetapi bai`ah ini tidak disyaratkan ke atas semua muslimin. Cukuplah untuk menunjukkan ketundukan dan kepatuhan kepada seorang khalifah kerana wajib atas setiap muslimin untuk tunduk kepada ketua negara Islam.
Bai`ah merupakan hak politik setiap mukallaf[21]. Syara’ tidak menetapkan satu perlaksanaan yang khusus dalam pengambilan dan penerimaan bai`ah. Maka sahlah segala metod yang membawa kepada tercapainya objektif bai`ah selagi ianya masih berada di landasan syar`ie. Di sini dikemukakan beberapa cara yang pernah dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w dan pemerintahan khulafah ar-Rasyidin.
i) Bai`ah dengan berjabat tangan
Kebanyakkan peristiwa pembai`ahan dengan cara ini berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w antaranya bai`atur Ridwan dan bai`atul `aqabah kedua.
ii) Bai`at secara tulisan
Selain cara pertama tadi, bai`ah secara tulisan juga pernah dipraktikkan. Contohnya pada zaman Rasulullah s.a.w di mana Najashi telah menghantar
iii) Bai`ah berwakil
Peristiwa sewaktu tersebar fitnah tentang kematian saidina Uthman r.a yang mencetuskan perjanjian Hudaibiyah.
iv) Bai`ah secara tersembunyi/ tidak nyata
Keadaan ini terjadi demi mengelakkan mudharat yang lebih besar lagi. Contohnya keadaan yang berlaku ke atas Abdullah Ibn al-Zubir yang terpaksa menyembunyikan bai`ah yang diberikan disebabkan keadaan politik pada masa itu dan setelah keadaan kembali aman, orang ramai boleh memberi bai`ah secara terbuka.
Sebagaimana yang pernah disebut sebelun ini tiada cara perlaksanaan yang tetap tentang proses bai`ah ini tambahan lagi di zaman ‘maklumat di hujung jari’ ini, metod perlaksanaannya boleh dipelbagaikan kerana tuntutan semasa dan selagi ianya masih selari dengan syarak pelbagai alternatif boleh dipraktikkan.
BAI`AH DALAM HARAKAH ISLAMIYYAH
Sebelum ini kita membicarakan bai`ah dalam ruang lingkup yang luas yang mana ianya pernah dipraktikkan sebelum zaman kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah. Namun kita boleh lihat kini, tanpa sistem anjuran Islam itu kita memerlukan satu mekanisme dalam memastikan cita-cita menegakkan Islam itu terus ada kesinambungannya secara terancang.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda :
“ Simpulan Islam terungkai satu demi satu. Setiap kali ia terungkai manusia bergantung di sekelilingnya. Pertama terungkainya pemerintahan dan akhirnya solat “.
Keadaan hari ini telah menjadi satu bukti yang cukup kukuh bagi kita untuk menilai kepentingan dalam mewujudkan satu pemerintahan yang berdasarkan kepada ajaran daripada Allah s.w.t. Masyarakat Islam kehilangan pemerintah yang bertanggungjawab untuk mengawal, memelihara, dan mempertahankan Islam serta yang menjadi sandaran bai`ah dan taat setia bagi menghayati pengertian hidup dan fungsinya sebagai hambaNya. Kini ia menjadi satu tugas untuk dikembalikan semula untuk berdepan dengan gelombang jahiliyyah yang membawa kefasadan dan kemungkaran.
Kesedaran dalam mengembalikan semula keagungan pemerintahan Islam yang bertujuan menjalankan tugas dakwah dan menyedarkan ummat tentang betapa pentingnya manusia diselamatkan dengan melaksanakan system Ilahi dalam menyusun kehidupan mereka. Penolakan terhadap perlaksanaan syariat Islam dan menentukan hukum-hukum berdasarkan kitab Allah s.w.t. serta pengabaian terhadap peranan memerangi musuh-musuh Islam oleh pemerintah kini menjadi keprluan bagi kewujudan golongan yang terus berjihad menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta mendidik generasi baru Islam dengan prinsip-prinsip Islam merupakan kewajipan yang penting[23].
Ini jelas melalui satu Hadis oleh Baginda s.a.w yang mmeberi jaminan bahawa akan terus ada golongan yang akan memikul peranan besar ini[24] :
“ Akan terus wujud segolongan umatku yang berjuang di atas kebenaran dengan berterus terang sehingga hari kiamat “
(Riwayat Imam Muslim)
Kedudukan Bai`ah dalam Jemaah Khassah.
Perbincangan kita di awal tadi lebih menjurus kepada kedudukan bai`ah dalam satu jemaah Islam yang am seperti dalam sistem khilafah. Namun keruntuhan kerajaan Uthmaniyyah telah mengubah kesatuan umat daripada kenyataan menjadi cita-cita yang perlu ditunaikan.
Bai`ah adalah unsur harakah yang berkaitan dengan perlaksanaan dan pengukuhan ketaatan, kesetiaan, keazaman dan iltizam yang amat mustahak di dalam perjuangan menghayati Islam.[25] Perjuangan menghayati Islam memerlukan organisasi yang teguh dengan para petugasnya yang setia kepada perjuangan dan kepada kepimpinan yang memandu kea rah cita-cita perjuangan tersebut. Oleh yang demikian, petugas-petugas dakwah telah disatukan di bawah satu pimpinan yang teguh yang diikat dengan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.
Melalui bai`ah, matlamat ini dapat dicapai. Selain daripada ketaatan, bai`ah bertujuan menanam faktor-faktor kekuatan yang lain di dalam diri manusia mukmin dan memberikan keazaman yang teguh untuk melaksanakan kewajipan terhadap Allah s.w.t. Contoh yang terbaik boleh dilihat melalui Perjanjian Hudaibiyah yang berlaku di saat dakwah Islam mencapai kekuatannya berbanding perjanjian Aqabah I dan II yang berlaku semasa Islam mula melebarkan sayapnya ke tempat lain.
Peristiwa yang berlaku ini membuktikan peranan bai`ah dalam mengikat dan membuktikan ketaatan dan kesetiaan jundi kepada qiadinya seperti yang diriwayatkan ole al-Baihaqy daripada Yazid bin Ubaid katanya : “ Aku bertanya kepada Salamah bin `Akwa, apa yang kamu bai`ahkan dengan Rasulullah s.a.w. Kata Salamah “ Bersedia mati “. Muslim pula meriwayatkan daripada Ma`qal bin Yasar katanya : “ Aku menyaksikan di hari pohon berdaun di belakang Rasulullah s.a.w. Kami ketika itu seribu empat ratus orang semuanya. Katanya, “ Kami tidak berbai`ah untuk mati tetapi kami berbai`ah untuk tidak lari “.[26] Jelas di sini kesediaan yang ditunjukkan oleh para sahabat untuk berdepan dengan segala kemungkinan dan berikrar untuk tidak lari walaupun mati yang bakal menunggu.
Dengan melafazkan dan benar-benar menghayati isi kandungan bai`ah di hadapan orang yang benar-benar layak untuk menerimanya iaitu mereka yang mengikut jalah Allah dan Rasulnya, seorang mukmin dapat merasakan corak perubahan yang harus dilakukan ke atas dirinya, kelakuannya, cara hidup dan perjuangannya. Ia seolah-olah membuka satu lembaran baru yang mmeberikan satu kepuasan hidup dan kenikmatan iman serta kepaduan azam bersama saudara-saudaranya dalam satu jemaah yang satu yang bersedia untuk menghadapi rintangan dan halangan.
Peranan bai`ah untuk menjelaskan matlamat hidup seseorang muslim untuk Allah s.w.t dan bukan perjuangan hidup mereka untuk kehidupan yang tidak kekal. Sunnah fi`liyyah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ini telah menetapkan satu paksi untuk para pejuang agama Allah ini kesanggupan mereka untuk tidak mundur dalam perjuangan walaupun terpaksa berhadapan dengan maut, cukuplah Allah bagi mereka .
Sebagaimana yang disebut sebelum ini, bai`ah ini perlu diletakkan atau diberikan di tempat yang selayaknya iaitu organisasi yang menuju jalan keredhaan Allah dan mengetahui jalan-jalan menuju ke matlamat tersebut. Kerana bai`ah berkaitan ketaatan dan iltizam, dan tidak berguna taat kepada orang yang kabur atau tidak jelas dengan matlamat mereka sehingga bercampur yang halal dan haram atau terjebak dalam kegiatan maksiat dan mungkar.
Kedapatan perbezaan ketaatan dan iltizam dalam jamaah `ammah dan jamaah khassah. Imamul `Azzam yang menjadi ketua dalam jemaah `amah berhak menerima ketaatan yang sepenuhnya melainkan jika ia memerintah terpesong daripada syariat Allah kerana tiada ketaatan bagi melakukan maksiat. Berbeza bagi jamaah khassah, bidang ketaatan yang ada bagi sesorang ketua jemaah khassah adalah terbatas dan bersyarat dan tidak perlu beriltizam sekiranya ia seorang yang fasik. Perbezaan ini kerana kerosakan sekiranya berlaku penentangan terhadap ketua jemaah khassah tidak sehebat kerosakan menentang al-Imamul `Azzam dalam jemaah `ammah.
Bunyinya seperti syarat-syarat biasa yang ditentukan di dalam siasah pergaulan ummat untuk mencapai sesuatu tujuan yang diredhai Allah s.w.t tetapi apa yang pasti seseorang yang berjanji pastinya perlu mengotakannya dan semestinya sebagai seorang muslim menunaikan amanah itu adalah wajib dan mengkhianatinya adalah sifat-siafat orang munafiq.
Sabda Rasulullah s.a.w : Orang-orang Islam itu wajib mematuhi syarat-syarat perjanjian mereka melainkan satu sahaja iaitu menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal “.
Tuntutan bai`ah :
Apabila menyebut tentang bai`ah dalam konteks organisasi ia menyatakan tentang transaksi antara dua pihak iaitu pemimpin dan pengikut. Selepas termeterainya bai`ah secara sendirinya lahirlah tuntutan-tuntutan terhadap keduanya iaitu hak dan tanggungjawab pemimpin dan juga pengikut.
Kita boleh melihat dari skop umum iaitu dalam bab menunaikan janji di mana bagi seorang muslim kewajipan dalam melunaskan janji yang telah dibuat agar kita tidak tergolong dalam golongan munafiq. Kita juga boleh menilai daripada isi kandungan bai`ah yang mana sekiranya ia selari dengan tuntutan syarak dan pastinya hanya untuk Allah dan bukan atas sebab lain mengapa harus ragu-ragu untuk menyatakan kesanggupan kerana ia sebenarnya merupakan tujuan asal manusia ini dijadikan iaitu untuk beribadah kepada Allah. Memandangkan keadaan hari ini di mana Islam kini makin diancam dan memerlukan golongan-golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran agar tiada lagi fitnah bagi Islam.
Kepatuhan dan ketaatan bergantung kepada kerelaan, kesedaran dan kefahaman yang sebenar ahli-ahli jemaah. Justeru, penting bagi sesebuah jemaah dalam merangka dan merencana proses yang menjana ke arah itu agar kefahaman dan kesedaran dapat dibina dan ditanam dalam diri ahli-ahli jemaah. Tanpa perlaksanaan bai`ah yang tidak tersusun ia akan menyebabkan rasa keberatan di kalangan ahli jemaah untuk menunaikan tuntutan bai`ah yang telah dimeterai yang mana ia boleh membawa sifat nufur yang mendorong ahli untuk lari dari jemaah Islam. Sebaliknya pula sekiranya tidak dilakukan bai`ah menyebabkan ahli tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya.
Ahli perlu diperingatkan tentang tanggungjawab bai`ah dan akibat buruk sekiranya mereka mungkir terhadap janji yang mereka ikrarkan. Mereka hendaklah sentiasa diingatkan tentang hukum memungkiri janji untuk menghindarkan mereka dari berdosa kepada Allah s.w.t dan kepada perjuangan Islam.
Huraian-huraian di atas jelas menunjukkan bahawa bai`ah merupakan amalan Islam yang penting di dalam membentuk jemaah dan menggerakkannya. Siapakah golongan hawariyyun dan para sahabat pada zaman Baginda ? Mereka ini merupakan pembantu-pembantu agama Allah yang telah meletakkan kesanggupan mereka sehingga ke tahap nyawa sebagai ganti demi mempertahankan Islam dengan bai`ah yang mengikat mereka. Bai`ah bukan sahaja perjanjian di mulut atau di atas sekeping kertas tetapi sesuatu pendorong dan motivasi terbaik bagi ahli jemaah dalam menjalankan kerja-kerja Islam.
Rasa tanggungjawab selepas mengangkat bai`ah ini akan mengingatkan ahli jemaah dari culas menjalankan kewajipan. Ia penting untuk dilaksanakan dalam jemaah yang memperjuangkan Islam bagi menjamin kekuatan dan keutuhannya dalam menghadapi suasana dan perkembangan yang dihadapi ummah kini.
Perlaksanaan bai`ah ini, bagaimanapun hendaklah dijalankan dengan cermat dan berhati-hati dan para pengikut hendaklah diberi kefahaman dan kesedaran yang mendalam mengenainya supaya perlaksanaan itu tidak timbul kesan-kesan negative dan meletakkan hukum bukan bukan pada tempatnya yang membawa kepada penyelewengan.
- Al-Quran
- Al-Buti, Muhammad Sa`id Ramadan. 1988. Fiqh al-Sirah. Jil. 1. Terj. Mohd Darus Sanawi. Ed. Baru. Selangor.: Dewan Pustaka Fajar.
- Al-Khalidi, Mahmud. 1985. al-Bai`ah Fi al-Fikri as-Siyasi al-Islami.
- Al-Khalidi, Mahmud. 2002. Bai`at Dalam Perspektif Pemikiran Politik Islam.Terj. Muhammad Bajuri. Bangil : Al-Izzah.
- An-Nabhani, Taqiyuddin. 1994. Ad-Daulah al-Islamiyah. Terj. Umar Faruq.
- Al-Marbawi, Idris. 1354H. Kamus al-Marbawi. Mesir : Penerbitan Mustafa al-Baabi al-Halbi.
- Al-Mawardi. 1993. Al-Ahkam al-Sultaniyyah Wa al-Wilayah al-Diniyyah. Terj. Uthman Khalid. Institusi Pengajian Tinggi.
- Al-Qasimi, Zhafir. Nizom al-Hukmi Fii as-Syariah wa at-Tarikh al-Islami. : Darul Nafaais.
- Hasan Ahmad. 1999. Mengenal Ciri-Ciri Jamaah Islam dan Kewajipan Beriltizam Dengannya. Cipta Media
- Rais, Muhammad Dhiauddin. 2001. An-Nazhariyatu as-Siyasatul al-Islamiah. Terj. Al-Kattani, Abdul Hayyie, Andi Aderus Banua, Noor Cholis Hamzain, & Rahmat Tohir.
- Mohd. Nakhaie Ahmad. 1984. Bai`ah Dalam Harakah Islam Kini.
-Yakan, Fathi. 2000. Ma za ya’ni Intimaii Lil Islam. Terj. Alias Othman.



