29 November, 2008

ISLAM : DULU, KINI DAN SELAMANYA


Pengenalan

Daripada Abu Hurairah ra berkata : Rasulullah SAW bersabda :

Islam telah bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka yang bersama Islam di waktu ia dagang.” - Hadith Riwayat Muslim

Hadith ini memberikan pengertian yang cukup mendalam dan perlu difahami dengan teliti oleh seluruh umat Islam. Sejarah Islam menukilkan bahawasanya Islam mulai tersebar di Mekah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya kalau dibandingkan dengan penentangnya. Oleh kerana Islam sangat asing dan unik maka Islam dibenci dan dimusuhi. Pembawa dan pendokong-pendokongnya dizalimi dan dihadapkan dengan berbagai-bagai mehnah dan tribulasi. ( Islam di era jahiliyah – era globalisasi )

Pengertian Islam

Islam adalah sebagai Ad-Din yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia yang terkandung di dalamnya aqidah, amalan-amalan dan hukum-hukum berhubungan dengan rohani dan jasmani, fardiyyah dan jamaiyyah, agama dan politik dan segala urusan hidup di dunia dan akhirat

Bahasa: Taat, menyerah, damai, aman dan tidak ada kecacatan baik dari segi zahir mahupun batin.( aslim-taslam )

Istilah: Penyerahan diri kepada Allah serta mentaati-NYA yang lahir dari kesedaran dengan tidak dipaksa. Penyerahan yang abadi di dasarkan kepada pencipta-NYA iaitu sujud kepada Allah dengan sepenuh rasa kehambaan tanpa perhitungan pahala dan dosa.

Firman Allah SWT :-

Apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah padahal kepadaNya menyerah diri segala apa yang ada dilangit dan bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan kepada Allah mereka dikembalikan”. ( ali – Imran : 83)

Islam adalah peraturan (an Nizam), perundangan yang lengkap bagi mengatur kehidupan manusia dan menjadi dasar akhlak yang mulia yang dibawa oleh Rasulullah saw daripada Allah, disampaikan kepada manusia serta menyatakan apa yang mengenai orang yang mengikut dan menentang sama ada dosa dan pahala.

Firman Allah SWT :

Dan barangsiapa yang mencari selain daripada Islam maka dia tidak akan diterima daripadanya dan diakhirat nanti dia termasuk dikalangan orang-orang yang rugi” (Surah Ali Imran ayat 85)


Islam juga mengeluarkan manusia dari penyembahan sesama hamba ini dapat dilihat dari kenyatan Rubaie bin Amir ketika ditanya Panglima Perang Parsi Rustam : Siapakah kamu?

نَحْنُ قَوْمٌ اِبْتَعَثَنَا اللهُ لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ العِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ وَحْدَهُ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَةِ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمِنْ جَوْرِ الأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ

"Kami adalah kaum yang diutuskan Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang berkehendak daripada penyembahan terhadap hamba kepada tuhan yang esa dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat serta mengeluarkan mereka dari kezaliman agama-agama lain kepada keadilan Islam”.

Islam terbahagi kepada 3 asas penting


Aqidah

Ialah kepercayaan kepada Allah yang tersimpul kukuh di dalam jiwa manusia tanpa ada sedikit keraguan terhadap kesemprnaan ajaran Islam. Inilah dasar dan pokok ajaran Islam dan seruan yang dibawa oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt:

Maksudnya : Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus Dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut- ( an- Nahl: 36 ).

Syariat

Iaitu perundangan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada manusia dan tidak boleh diubah dengan apa cara sekalipun. Syariat Islam memelihara lima prinsip; iaitu agama, nyawa, maruah, akal dan harta.

Akhlak

Imam Al Ghazali menyatakan bahawa akhlak ialah “bawaan sifat jiwa yang tersembunyi atau melahirkan perbuatan dengan mudah tanpa perlu berfikir terlebih dahulu".

Berdasarkan definisi inilah Imam Al Ghazali menyatakan bahwa akhlak itu ialah sifat-sifat yang telah menjadi tabiat seseorang. Ia bukan sesuatu yang bersifat takalluf (sesuatu yang dibuat-buat) tetapi telah menjadi perangai dan miliknya yang sebenar bukan ia berpura-pura berperangai baik di hadapan orang pada masa-masa tertentu.

Akhlak ialah satu ajaran daripada Islam, untuk memperbaiki tingkahlaku manusia dan ia mempunyai tempat yang tinggi dan pengaruh yang besar dalam gerakan dakwah kerana akhlak yang baik merupakan besi magnet kepada Islam.

Ciri – ciri Islam

Rabbaniyah

Rabbaniyyah adalah ciri utama Islam dan punca segala ciri seterusnya. Ini jelas kepada kita kerana Islam sendiri datang dari Allah dan bersifat Rabb. Para du’at merujuk al-Qur’an dan al-Sunnah. Allah menjelaskan selagi du’at berada dalam manhaj Rabbani, mereka terus berada dalam pemeliharaanNya:

Firman Allah SWT :

Maksudnya : Dan bersabarlah menunggu ketetapan Tuhan, maka sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan Kami.(al-Thur : 48)

Manhaj Rabbani mampu melahirkan mukmin bersifat Rabbani dari segi iktiqad, pemikiran cita-cita, percakapan dan perbuatan. Bersifat Rabbani bermaksud beriltizam kepada dasar-dasar perjuangan Islam sepenuhnya. Sumber Rabbani ini dijadikan asas pembentukan dan perkembangan individu dan masyarakat.

A’lamiyyah

Alamiyah bermaksud sesuai untuk semua orang dan tempat tidak kira bangsa dimana orang itu berada. Ajaran Islam adalah sesuai sehinggalah hari kiamat.
Firman Allah SWT :

Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. ( al – Anbiya’ : 107 )

Syumuliah

Islam adalah lengkap dan sempurna, tidak terdapat padanya walaupun sedikit kekurangan atau pun ketidakseimbangan kerana agama ini diturunkan oleh Pencipta yang Maha Agung.

Firman Allah s.w.t :

Maksudnya : Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu Agamamu dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Aku redhai Islam itu agama bagimu”(al-Maidah:3)

Waa’qiyah

Islam adalah satu agama yang bertepatan / bersesuaian mengikut suasana dan tempat. Walaubagaimanapun sesuatu tuntutan itu direalisasikan tanpa mengorbankan prinsip dan hokum awal. Ini bererti sifat islam itu sendiri secara fitrah dan mampu direalisasikan oleh manusia dan kemampuannya.

Contoh : Menutup aurat adalah wajib,akan tetapi cara pelaksanaan dari segi pemakaian hijab/tudung terpulang pada wanita asalkan melabuhkan tudung dan tidak menampakkan perhiasannya

Inqilabiyyah

Inqilabiyyah menurut Harakah Islamiyyah ialah melaksanakan perubahan dengan mencabut jahiliyyah dari akar umbinya, meruntuhkannya dan menegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyyah.

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan jangan kamu mengikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia musuh kamu yang nyata” (al-Baqarah : 208)

Thabat dan Murunah

Islam adalah thabat (tetap) dari segi prinsip dan dasar dan Murunah (fleksibel) dari segi perlaksanaannya.

Contoh: Solat wajib dan perlaksanaannya berubah mengikut keadaan seperti sakit, musafir dan perang

Kenapa perlu kepada Islam

Agama fitrah

Rasulullah bersabda:

مَا مِنْ مَوْلُوْدٍ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Semua bayi yang dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapaknyalah yang meyahudikan, mengkristenkan, atau yang memajusikannya.” (HR. Al Bukhari

Menjawab persoalan

Dari Mana Datang?

Maksudnya :Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh;Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk Yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. (al-mukminun 12 -14 )

 Mengapa Dijadikan?

Firman Allah :

Maksudnya :Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.( ad-zariat:56 )

Firman Allah :

Maksudnya :Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". ( al-Baqarah :30 )

Kemana dikembalikan

Firman Allah :

Maksudnya :Wahai manusia! Sesungguhnya Engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) Dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian Engkau tetap menemui balasan apa Yang Engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya). ( insyiqaq : 6 )

Firman Allah :

Maksudnya :Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian ia mengembalikannya (hidup semula pada hari kiamat), kemudian kepadaNyalah kamu akan dikembalikan (untuk menerima balasan). ( ar – Rum: 11 )

27 November, 2008

MAJLIS PERKAHWINAN : ANTARA ADAT DAN IBADAH


Antara topik hangat dan relevan untuk dibincangkan dalam waktu cuti persekolahan atau cuti semester ini adalah majlis perkahwinan. Di rumah sewa saya sendiri, tersusun cantik kad utusan raja sehari sehingga boleh di buat pertandingan kad kahwin sapa yang paling cantik.

Tinggalkan seketika berkenaan kad kahwin, apa yang saya ingin ulas disini adalah berkenaan majlis perkahwinan. Majlis perkahwinan atau walimatul urus bermaksud kenduri bagi meraikan atau merayakan kehadiran pengantin baru. Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat muakkad (sangat dituntut) sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Kata Nabi S.A.W. kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau berkahwin, hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin sekalipun hanya menyembelih seekor kambing". (Muttafaqun alaih)

Dalam dunia globalisasi sekarang, masih wujud kekeliruan antara tuntutan agama dan adat yang menjadi pegangan kuat bagi orang Melayu. Bahkan, ada pepatah mengatakan “biar mati anak, jangan mati adat”. Ini menggambarkan betapa dalam sesuatu situasi adat mendahului kepentingan lain dalam hidup. Dalam masyarakat Melayu, kita dapat lihat adat masih diamalkan terutama dalam majlis perkahwinan.

Situasi seperti ini sering menjadi dilema bagi mereka yang berada dalam gerakan Islam. Antara kehendak kedua ibu bapa samada sebelah suami atau isteri yang ingin mengekalkan adat atau kehendak diri sendiri yang ingin membuang terus adat tersebut yang tiada berkaitan dengan ibadah.

Perlu diingat usaha untuk menjernihkan antara agama dan adat, jauh lebih sukar dari yang dijangka. Walaupun nyata bersalahan dengan agama, mencabut adat yang asing dari Islam, tidak semudah mencabut kemuncup yang lekat di kain. Akarnya dalam mendasar, batangnya tajam berduri.


Antara adat dalam majlis perkahwinan yang bertentangan dengan syariat Islam khususnya dalam persandingan :-

a) Menabur beras kunyit: Jika ia ditabur dengan tujuan menambah semangat dan menghalau roh jahat, maka ia adalah syirik dan bercanggah dengan firman Allah :
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan. ( al - Fatihah : 5 )

b) Membaca jampi mentera: Jika beriktikad bomoh atau pawang itu membaca jampi-mentera dengan tujuan dapat memelihara majlis itu daripada roh jahat, maka dia juga amalan syirik seperti yang dijelaskan di atas.

c) Berandam: Perbuatan andaman yang berbentuk "li tadlis" mengabui/merubah kecantikan yang sebenar adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis: HR Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas'ud:

"Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka*, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah." (*pengecualian: membuang bulu yang berupa janggut atau misai atau side-burn.)

d) Berhias untuk dipamerkan (tabarruj): Berhias dengan tujuan untuk dipamerkan kepada orang ramai adalah dilarang. Firman Allah (maksudnya), "Janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu." (Al-Ahzab: 33)

e) Mengadakan kenduri walimah secara besar-besaran. Islam mencela amalan boros: "Janganlah kamu membazir secara melampau." (Maksud al-Isra': 26)

f) Menjadikan hadiah atau pemberian wang sebagai satu kemestian: Ini berlawanan dengan roh Islam Firman Allah:" Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." (2: 286)

g) Mas kahwin dan hantaran yang mahal: Inilah adalah sunah Rasululullah SAW :
"Wanita yang paling berkat ialah wanita yang paling murah hantarannya." (HR Ahmad, al-Hakim dan Baihaqi)

Agama Islam adalah sebuah agama yang bersifat syumulliyah dan universal. Oleh itu, Islam bukanlah agama yang diwahyukan untuk bangsa Arab sahaja bahkan Islam adalah agama yang relevan untuk semua bangsa di dunia ini. Justeru, Islam bukanlah dilihat sebagai agama yang menghapuskan kebudayaan atau adat sesuatu bangsa jika bangsa tersebut memilih Islam sebagai agamanya. Demi meraikan adat, Islam membenarkan persandingan dengan meletakkan syarat:

1. Hendaklah disandingkan secara tertutup (di hadapan muhrim atau keluarga terdekat) dan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat.

2. Jika ingin melakukan secara terbuka diharuskan jika bertujuan iklan dan memperkenalkan mempelai kepada para jemputan dan kaum keluarga dengan syarat kesemua pihak baik pengantin dan para jemputan semua menutup aurat kecuali perhiasan yang biasa dilihat.

Seterusnya bagaimana pula untuk menjadikan majlis perkahwinan sebagai ibadah :-

a) Menggunakan sumber rezeki yang halal, iaitu wang yang digunakan untuk majlis terbabit tidak diperoleh melalui cara haram.

b) Majlis yang diadakan itu juga perlu jauh daripada unsur riak iaitu menunjuk-nunjuk dan bertujuan berbangga-bangga dengannya.

c) Elak daripada bercampur dengan unsur yang diharamkan, tidak melalaikan, tiada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, tiada lagu yang melalaikan dan benda lain yang tidak baik.

d) Elakkan daripada berhutang sebaliknya buat mengikut kemampuan.Tetapi bagi orang berada, tiada masalah untuk mengadakan walimah besar-besaran dengan syarat menepati dengan anjuran Islam.

e) Menjemput semua orang termasuk orang miskin supaya matlamat walimah tercapai, memupuk persefahaman dan perkenalan. Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah apabila orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak perlu (orang kaya) diundang.” (Muslim)

f) Majlis perkahwinan dilakukan dengan ikhlas.

g) Tidak menjadikan hadiah atau pemberian wang sebagai satu kemestian. Ini akan menyusahkan tetamu terutama golongan miskin, malah berlawanan dengan roh Islam.

Kesimpulannya, Islam bukan sesuatu agama yang memberati para penganutnya dalam melayari arus kehidupan di dunia ini. Islam secara mudahnya merupakan agama yang diwahyukan untuk semua jenis manusia yang terdapat di atas muka bumi ini.

Justeru itu, Islam tidak pernah melarang sama sekali para penganutnya daripada mengamalkan kebudayaan dan kesenian yang terdapat dalam setiap bangsa. Namun, perlu difahami bahawa setiap amalan yang dipraktikkan itu perlu selaras dan selari dengan syariat Islam. Begitu jugalah halnya dengan isu perkahwinan dalam masyarakat Melayu. Ia boleh dilakukan dan diamalkan selagi ia tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

P/S : Selamat Pengantin Baru kepada sahabat rumah sewa saya Mohd Hafiz Hassan & Ainain dan Mohd Hafizuddin Abirerah ( YDP PMIUM 08/09 ) & Fatin Nuraini yang bakal melangsungkan perkahwinan pada hujung minggu ni. Semoga kekal bahagia sepanjang hayat.

25 November, 2008

Hormati Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan

Keputusan Majlis fatwa kebangsaan mengharamkan yoga telah mendapat perhatian pelbagai pihak. Belum pun reda isu badan bukan kerajaan ( NGO ) bukan Islam yang menentang fatwa pengharaman pengkid, telah ada segelintir pihak yang mempertikaikan pulak fatwa pengharaman yoga. Fenomena ini hendaklah dilihat secara serius bila mana ada usaha – usaha jahat yang mula mempertikaikan kredabiliti Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Islam mensyariatkan umatnya bertanya kepada orang yang berilmu sekiranya mereka mendapati sesuatu masalah itu tidak jelas hukumnya. Fatwa bermaksud penjelasan mengenai hukum syarak oleh Mufti bagi sesuatu masalah agama berdasarkan dalil syarak sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara sendirian atau berkumpulan.

Bagi saya, rakyat Malaysia yang beragama Islam perlu mengetahui bagaimana proses fatwa ini dikeluarkan. Amat mendukacitakan apabila ada segelintir orang Islam sendiri yang mempertikaikan keabsahan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan, secara tidak langsung menimbulkan fitnah kepada agama lain.

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia yang terdiri daripada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa fatwa atau syariah peringkat negeri dan 14 orang mufti negeri serta beberapa asatizah dan cendekiawan yang berpengalaman akan mengadakan persidangan dan muzakarah semasa bagi membincangkan sesuatu isu dan perkara yang belum diputuskan. Ini bermaksud skop fatwa tersebut meliputi :

1.Isu atau masalah yang timbul dalam masyarakat dan belum jelas hukum mengenainya.

2.Pendapat yang berbeza antara ulama yang memerluan pemilihan(tarjih)

3.Isu-isu yang telah difatwakan di negara-negara lain yang perlu disesuaikan mengikut keadaan setempat.

4.Isu-isu yang bersifat global dan berkaitan dengan kepentingan umat Islam.

Seterusnya sesuatu fatwa yang dikeluarkan hendaklah melalui beberapa proses sebelum diumumkan kepada masyarakat. Antaranya ialah :

a.Perlu dikaji dan dibentangkan di dalam jawatankuasa.

b.Lazimnya mengikut pendapat muktamad dalam mazhab Syafie. Jawatankuasa Fatwa berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

c.Mengikut kaedah fiqh Al-Aulawiyyat iaitu meletakkan sesuatu pada kedudukan yang sewajarnya samada dari segi hukum, nilai mahupun pelaksanaanya.Perkara/Amalan yang lebih utama hendaklah didahulukan berdasarkan penilaian syariat dan akal.

d.Jawatankuasa fatwa akan merujuk kepada pendapat-pendapat sahabat, tabiin, imam-imam mazhab dan fuqaha dengan mengadakan penelitian dalil-dalil dan implikasinya.

Justeru, saranan saya diperingkat Majlis Fatwa Kebangsaan hendaklah sentiasa memberikan penerangan dan kefahaman dari semasa ke semasa kepada masyarakat bagaimana sesuatu fatwa itu dikeluarkan. Bagi golongan yang menentang fatwa yang dikeluarkan hendaklah menilai diri sendiri adakah usaha yang dilakukan berdasarkan niat yang ikhlas atau mempunyai agenda – agenda yang tersembunyi yang ditakuti akan menimbulkan masalah yang lebih besar.

Oleh itu, saya menyeru kepada umat Islam agar sentiasa berpegang dan merujuk kepada kepada Al – Quran, as – Sunnah, Ijmak, Qiyas dan ijtihad ahli fuqaha semasa apabila menghadapi sesuatu perkara agar tidak digolongkan dalam golongan yang sesat yang berhujjah atas dasar akal semata – mata.

21 November, 2008

Pertemuan Do'a


Faizal terus melangkah menuju ke biliknya. Langkahnya Iemah dan longlai. Timbunan pakaian kotor, buku-buku yang bersepahan di atas meja, katil yang belum dikemas, sampah-sampah kecil yang bertaburan di lantai, semakin membuatnya risau dan lemas.

Setelah meletakkan beg galas dan membuka kemejanya, ia menyalakan kipas angin, IaIu menghempaskan tubuhnya di atas katil. Ia mendengus panjang. Hampir putus asa dia untuk mencari alasan untuk tidak memikirkan Anis, gadis yang menjadi jirannya.

Sebenarnya teIah banyak sebab yang dibuat oleh Faizal supaya dia tidak memikirkan Anis. Tetapi kali ini ia gagal. Kegiatan-kegiatan ibadahnya tidak memberikan kehangatan jiwa seperti biasa lagi. Kesedaran tentang cita-cita yang tinggi yang sering disematkan dalam jiwanya, terasa lemah tidak berdaya.

Faizal kembali mendengus panjang, sepanjang keluh hatinya. Wajah Anis terus memenuhi fikiran dan hatinya. Apakah istimewanya seorang mahasiswi seperti Anis? Jawapan inilah yang senantiasa menggundahkan hati Faizal.

Sebenarnya wajah Anis tidak terlalu cantik. Postur tubuhnya pun sederhana sahaja. Tapi gerak-geri dan tutur katanya secara keseluruhan menampilkan suatu keserasian yang menawan.

Lima tahun perjuangan berat untuk meninggalkan lumpur jahiliyah telah berlalu, Faizal seharusnya sudah cukup mantap. Pesona Anis tidak selayaknya menggoncang iman dan kesedarannya. Namun, pesona itu tidak hadir sendiri. Sebab kedua bola mata Anis yang teduh telah mengingatkannya kepada sebuah rakaman masa laIu di benak Faizal.

Kembali Faizal mendengus panjang. Ia bangkit. Oh tidak, aku bukan pemuda melankolik yang dihantui oleh masa lalu. Masa Ialu adalah masa lalu. Ia boleh hadir, tapi tidak untuk menjajah masa kini. Tapi Anis telah memasuki jiwanya terlalu dalam. Mereka memang belum pernah berbicara berdua, tapi hati mereka telah berbicara begitu banyak melalui pertemuan mata. Namun sorotan mata itu dirasakan kesannya lebih tegas dari sekadar kata. Dan Faizal kini menyedari, betapa hanya dengan berbahasakan sorotan mata, Anis telah berjaya membawa Faizal ke dunia lain dengan gelombang dan gejolak jiwa yang parah sebegini .

Faizal serasa ingin menyerah. Ia tidak sanggup lagi didera oleh desakan-desakan di dalam hatinya. Hanya ada satu hal yang masih membingungkannya. Bagaimana ia boleh langsung berhubungan dengan Anis? Mestikah ia mengahwininya? Atau hanya pacaran?

Pilihan pertama bagi Faizal terlalu sulit, ia tidak mungkin mengahwini Anis yang tidak berjilbab, apa lagi tidak mendapat tarbiyah. Dan jika ia betul-betul terjadi? Oh, kiamatlah maknanya...........

Pilihan kedua mungkin lebih mudah. Tapi, ia harus berani jadi munafik, kerana harus dirahsiakan dari sahabat-sahabatnya, atau ia harus memisahkan diri dari mereka.

Mungkin ada jalan lain yang lebih sederhana. Ia pacaran dengan Anis, sambil mentarbiyahnya, baru mengahwininya. Masuk akal sekali kerana dapat memenuhi tuntutan keremajaannya sekaligus tuntutan keyakinannya. Faizal sudah memutuskan ingin memilih untuk menempuh jalan ini, tapi tiba-tiba ia menyedari bahawa ini pun adalah logika syaitan yang bererti bahawa ia harus menjadi munafik.

Jalan ketiga ini telah banyak ditempuh oleh teman-temannya. Tapi akhirnya sama saja; kalau bukan 'makwe'nya yang munafik dengan berjilbab untuk menyenangkan dia, maka dialah yang munafik kerana memakai topeng agama untuk memenuhi tuntutan syaitannya.

"Tidak! Saya tidak ingin jadi munafik!" batin Faizal menjerit.

"Jadi bagaimana...?" Ia kembali bertanya. Ah, Faizal menemui jalan buntu sedangkan ia masih tetap didera oleh kebingungan itu, sampai akhirnya ia terlelap dibawa mimpi yang tak pasti. Mimpi yang buruk. Nafasnya hampir habis. Ia tercungap-cungap. Tiba-tiba ia terjaga.
Tidak ada sesuatu. Hanya gelap. Astaghfirullah. Faizal lantas menyalakan lampu. Jam menunjukkan pukul tiga pagi. Ia masuk ke bilik air, berwudhu, lalu solat tahajud.

Dan semuanya hilang. Hanya terasa seolah-olah ada embun yang menitik di hatinya. Sejuk. Damai. Faizal masih tetap duduk di atas sejadahnya. Ia menerawang jauh, jauh sampai di langit hatinya.
Saat itu ia merasakan betapa jernih dan bening hatinya. Saat-saat begini adalah saat yang indah, yang menawarkan ribuan kesejukan bagi batin yang papa, ribuan ketenangan bagi hati yang resah, dan ribuan kadamaian bagi jiwa yang bimbang dan merana. Faizal merasakan semua itu. Ia kembali menemui dan merasai kehangatan ibadahnya. Mendapatkan kekuatan hati dan keteguhan batin. Kini Faizal dapat melihat dengan mata hatinya betapa kerdilnya pesona Anis, dan betapa agungnya erti dari sebuah keteguhan iman.

"Ah, mengapa aku tidak mendapatkan suasana jiwa seperti ini setiap saat ..... ?"

Kini, jalan keluar telah dijumpainya. Ia mesti pindah rumah, dan menjauhi gadis tetangganya itu.

"Ceria sangat pagi ni Faizal" kata Mak Ngah membuka percakapan ketika sarapan pagi. Faizal hanya senyum-senyum.

"Sedang jatuh cinta ya?" sapa Mak Ngah lagi dalam nada tanya bergurau.

"Ah' takde lah , biasa aje" jawab Faizal secara selamba.

"Abang Faizal sudah ada mak we ya?" Rina, anak perempuan Mak Ngah yang baru di tingkatan tiga turut mencelah.

"Eh, kenapa ni, pagi-pagi dah buat cerita?", jawab Faizal dengan sedikit kehairanan. "Apakah mereka tahu fasal Anis?", tanyanya dalam hati.

Tiba-tiba Mak Ngah meninggalkan meja makan, Ialu kembali dengan membawa sepucuk surat.

"Ini buktinya", kata Mak Ngah sambil memberikan surat itu.

"Tadi pagi Anis lalu di depan rumah dan kirimkan surat ini''.

"Inna lillahi", Faizal berujar dalam hati.

Ia masih kelihatan bingung.

"Hai, baru dapat surat dah jadi bingung", Mak Ngah kehairanan. Ia sebenarnya tahu Faizal orangnya soleh dan serius. Tapi yang membuatnya hairan, Anis memangnya gadis yang baik dan bersopan santun, pendek kata sangat sesuai untuk dijadikan calon isteri telah tidak membuatnya gembira.

Apabila masuk semula ke biliknya, Faizal pun membuka surat itu.


"Abang Faizal yang dihormati, mungkin surat ini dihantar dengan kesengajaan yang sebenarnya memalukan. Mungkin juga kuno. Tapi begitulah, hanya jalan ini saja yang boleh ku tempuh. Saya tidak bertemu jalan lain untuk dapat berbicara dengan abang Faizal.
Abang Faizal, Anis percaya abang Faizal dapat memahami hal ini. Anis juga percaya abang Faizal tentu sudah dapat menduga apa yang ingin ku katakan. Mungkin tidak salah jika Anis mengatakan bahawa hal itu juga abang Faizal rasakan. Jika mata kita anggap sebagai jendela hati, maka ia telah begitu banyak berbicara.

Abang Faizal, belum tibakah saatnya kita berterus terang?

Salam manis untuk abang Faizal
Anis

Faizal menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Ah, bala datang lagi", ia mengeluh.

"Apakah ini cinta benar atau tipu helah syaitan semata-mata?", gumamnya lagi. Terpaku ia sejenak.

"Tidak. Tak boleh jadi ni.... Saya mesti pindah dari sini seberapa segera. Syaitan di sini makin lama semakin besar dan sulit untuk dilawan". katanya mengambil keputusan.

Setelah Faizal menjelaskan dengan panjang lebar dan terus terang, akhirnya Mak Ngah menerima keputusannya.

Di tempat baru ini, Faizal merasa lebih tenang. Ketenangan yang merupakan buah kemenangan iman atas panggilan pesona dunia. Setiap kali iman menang, setiap kali ia akan mendapat ketenangan yang lebih banyak.

Ah, Faizal tersenyum haru di depan ayat-ayat AI-Qur'an yang dibacanya. Barangkali memang benar, pengetahuan-pengetahuan begini hanya dapat diraih dengan akal batin yang selalu diasah dengan taqwa. Bukan dari buku-buku, tapi pada pengalaman manusiawi dalam beriman.

Sejenak ia teringat kembali Anis, wajah yang menyimpan ribuan pesona, yang telah memporak-perandakan keseimbangan imannya dalam sejenak -. Oh, semoga Allah berkenan mengurniakan petunjuk dan hidayah buatnya. Saat-saat ketika ia larut dalam pesona Anis, adalah saat dimana ia bersahabat dengan keluh dan gelisah. Ia adalah jejak-jejak dalam kehidupan yang begitu manusiawi, dimana ia cuai dan lemah, dan seketika pesona bumi menariknya ke lumpur dunia, setelah ia mendaki menaiki tangga iman menuju langit ketinggian.

Pelan-pelan dua butir mutiara bergulir di celah-celah matanya. Ia terharu. Ia bersyukur. Ya Rab, sesungguhnya di dalam keteguhan iman, Allah menyimpan ribuan kesejukan dan kedamaian bagi jiwa manusia.

Di luar biliknya Faizal mendengar Azwan memanggilnya.

"Faizal! Waktu makan telah tiba". Suasana makan malam itu memang meriah. Maklumlah, majlis para bujang. Mereka semua baru di tahun dua, kecuali Azwan yang sebentar lagi tamat. Suasana jadi makin gamat tatkala Azwan tiba-tiba mengumumkan:

"Baiklah, sekarang saya mahu beritahu antum semua. Petang tadi saya baru saja melamar seorang ukhti. Dan alhamdulillah, diterima. Akad nikah dan walimah, lnsya Allah akan dilangsungkan pada bulan depan, iaitu setelah semua kursus saya selesai. Lulus atau tidak, pernikahan akan tetap dilangsungkan.

Allahu Akbar. Ketawa mereka pun meledak. Kemudian serentak mereka berdiri untuk bersalaman dengan Azwan.

Akhimya Azwan melangsungkan pernikahan, dan dinyatakan alumni dari rumah sewa bujang, kerana segera akan tinggal di rumah sewa sendiri yang telah lebih awal dicarinya.

Waktu berlalu mengikut sunnah Ilahi. Ia adalah jalan panjang kehidupan, dan manusia tidak lebih dari musafir-musafir yang hadir bersama kereta peristiwa.

Tak terasa empat tahun telah berlalu, kini Faizal telah menamatkan pengajiannya di kampus. Ia teringatkan ibu saudaranya yang tak pernah dikunjungi dan dijengoknya sejak berpindah dulu. Sudah lama betul dia tidak menziarahinya, ingin pula berjumpa dan bertanya khabar sebelum ia balik ke kampong.

Rupa-rupanya setelah sekian lama tak berkunjung Faizal lihat segalanya telah berubah. Rumah Mak Ngahnya kelihatan lebih berseri dan tenang. Tak ada lagi suara muzik yang bising. Papan catur di rak almari kini digantikan Al-Qur'an besar dan poster potret telah digantikan dengan frem khat ayat-ayat suci Al-Qur'an. Lebih dari itu, seluruh wanita penghuni rumah ini juga telah berjilbab. Di tengah kehairanannya, serombongan akhawat keluar dari bilik Rina. Dan, ada seraut wajah yang dikenalinya betul. Ya, bukankah itu wajah anggun yang pernah menggoncang hatinya dengan begitu hebat?

Darahnya tersirap. Allahu Akbar! Siapa yang akan menyangka semua ini akan terjadi? Allahu Akbar. Hanya itu yang mampu diucapkan Faizal dalam hatinya. Sesungguhnya hidayah Allah yang dipohonkannya agar Anis ditunjukkan jalan yang lurus dimakbulkanNya.

Kerana suasana itu Faizal tidak jadi balik petang itu, malah bermalam pula di rumah Mak Ngahnya. Suasana bertukar khabar berita mereka penuh keterharuan berbaur dengan kegembiraan. Ada keakraban yang lain. Ada kedekatan yang khas, dalam ikatan tali Allah.Semua cerita lama diungkit lagi. Dan semua terasa manis. Kerana ada perubahan, ada dua masa, ada rahmat Ilahi. Tahulah Faizal kini mengapa perubahan ini terjadi.

Selang beberapa bulan kemudian.
Faizal sedang berada di tengah-tengah sahabatnya. Mereka, seperti biasa, asyik saling bercerita, bertukar pengalaman dan informasi.
Setelah berdehem beberapa kali, dengan tenang Faizal mengatakan,

"Saya baru saja melamar seorang ukhti, dan alhamduliliah, diterima. (semua menyambut dengan teriakan Allahu Akbar). Dan untuk pengetahuan sahabat ukhti itu adalah Anis. (sekali lagi serentak semua menyambut Allahu Akbar). Sudah tentu do'a antum diharapkan disamping itu jangan ketinggalan untuk terlibat sama dalam membantu rewang semasa kenduri walimah nanti. (semua berkata no problem). Berita tamat".

Semua tersenyum. Juga tertawa. Semua bersalaman dan memeluk Faizal.

"Selamat. Antum rupanya engineer kedua yang mengikut jejak Azwan", kata Fandi.

"Inikan suatu perencanaan Allah akhi", Yahya pula menjawab.
Anis masih merenung suaminya tajam dan dalam. Yang direnung jadi kehairanan dan kekuk.

'Untuk apa cerpen ini ditulis, bang? Sambil menunjukkan majalah itu Anis terus menatap suaminya tajam. Tapi ia kini tersenyum. Yang ditatap turut tersenyum.

"Hadiah istimewa buat isteriku Anis, sempena kelahiran putera pertama, Faris". Jawab Faizal. Anis tersenyum gelihati. Langsung terus dipicit hidung suaminya. Sebentar kemudian ia diam. Lalu, "Ada yang lupa abang sebut" katanya.

"Apa dia?", Faizal tertanya-tanya. Anis sejenak terdiam.

"Begini, setelah Mak Ngah menceritakan sebab perpindahan abang dari rumahnya, saya betul-betul merasa terpukul. Saya kalah. Saya mengalami kekecewaan. Tapi saya cuba membaca buku-buku bertema keislaman. Allah rupanya Maha Pemurah, kerana Dia berkenan mengubah jalan fikiranku. Dan berkat hidayah Allah juga, seisi rumah Mak Ngah juga berubah. Saya sungguh kagum dengan kekentalan imanmu dan berharap agar Allah dapat memberi saya keteguhan yang sama. Sejak saat itu, rumah Mak Ngah jadi tempat pengajian kami bersama beberapa akhawat. Dan tepatnya di bilik abang kerana hanya bilik itu yang kosong. Setiap kali saya berada di bilik itu, selalu ada kenangan lain yang dirasakan. Ada kelainan tertentu yang merasuk hatiku. Dan diam-diam saya selalu berdo'a, Anis berhenti sejenak, matanya berkaca-kaca.

Ia melanjutkan lagi,

"Ya Allah jangan biarkan aku mati sebelum sempat membalas jasa abang Faizal atas keteguhan imannya, keteguhan yang telah mengetuk pintu hatiku untuk bertaubat dan mengamalkan Islam secara total".

Air matanya gugur. Ia tak sanggup menahannya. Ia ingin menghapusnya, tapi Faizal mencegahnya. "Biarkan ia mengalir, kata Faizal.

" Dan", Anis melanjutkan lagi,

"Do'a itu dikabulkan Allah, bahawa saya diperkenankan menjadi isteri Faizal, Abinya Faris'.

Faizal terharu.

"Sebenarnya", katanya

"Sejak pindah itu, diam-diam saya juga sering berdo'a, semoga Allah berkenan memberikan petunjuk buat Anis". Faizal berhenti sejenak. Matanya berkaca-kaca. Lalu air matanya gugur. Ia ingin menghapuskannya, tapi Anis mencegahnya "Biarkanlah ia mengalir', katanya.

"Tapi rupanya Allah memberi saya Iebih dari apa yang kuminta. Ia telah berkenan menjadikan saya sebagai suami bagi Anis, Ummunya Faris".

Mereka menangis. Mereka tersenyum. Ada keterharuan. Ada bahagia. Sebab dua do'a yang dipertemukan oleh Allah dengan teramat halus. Sangat teramat halus, kerana ia tulus, maka ia kudus.

Allahu Akbar

P/S : Koleksi cerpen online

19 November, 2008

PRA - SYARAT KEBANGKITAN PEMUDA PEMUDI ISLAM

Ketahuilah wahai para pemuda pemudi Islam, bahawa dalam sejarah kebangkitan bangsa-bangsa, pemuda pemudi selalu memiliki peranan yang besar dan strategik, kerana untuk menuju kebangkitan bangsa diperlukan daya kekuatan berupa keyakinan yang kuat, ketulusan, semangat yang jujur, kesungguhan dalam kerja dan pengorbanan.

Dalam hal ini pemuda - pemudilah yang berpotensi untuk itu, kerana pemuda adalah simbol hati yang masih jernih sehingga memiliki keyakinan dan iman yang kuat, kejujuran yang memungkinkan untuk memiliki ketulusan dan keikhlasan dalam beramal, serta semangat yang menggebu yang memungkinkan untuk beramal dengan sungguh-sungguh dan penuh dengan pengorbanan.

Firman Allah SWT :

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (Al-Kahf : 13 – 14)

Golongan muda (syabab) adalah merupakan asset penting dalam memastikan kesinambungan gerak kerja Islam.

Sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam telah membuktikan bahawa golongan ini memainkan peranan penting dalam memastikan tertegaknya panji Allah s.w.t. di atas muka bumi ini.

Ayat di atas telah meletakkan syarat dan asas untuk memastikan golongan ini berjuang dan bersandarkan kepada panduan inilah kita mengambil sikap untuk menjadi golongan syabab li inqaz al ummah (pemuda yang berperanan untuk mengangkat darjat ummah).

Golongan yang ingin menegakkan panji Allah s.w.t. ini perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. agar pertolongan Allah s.w.t. dan kemenangan daripadaNya menjadi milik pejuang Islam.

Antara syarat-syarat tersebut ialah:

Syarat Pertama

Syarat pertama yang disebut dalam ayat ini adalah iman yang kental dan hanyalah dengan iman yang sebegini kita akan dapat menjalankan tugas dakwah yang begitu banyak tanggungjawabnya ke atas kita tetapi begitu sedikit pula kemampuan yang kita miliki.

Ciri iman yang perlu kita miliki adalah iman yang ditasdiqkan (dibenarkan) bukan sahaja pada hati dan jiwa kita tetapi iman yang dicernakan dalam bentuk amalan sehingga golongan pemuda tadi menjadi contoh dan tauladan ibarat al-Quran dan al-Sunnah yang berjalan di atas muka bumi.
Syarat Kedua

Syarat kedua adalah al-huda (petunjuk dari Allah s.w.t.). Tugas dakwah adalah tugas untuk memindahkan panduan dan arahan al-Quran ke alam waqi’ie (reality) dan ianya berhajat kepada pentafsiran dan penjelasan permasalahan semasa ummah dengan petunjuk dan hidayah yang digagaskan oleh Islam.

Islam tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk abstrak mahupun khayalan. Dengan demikian hanyalah dengan al-Huda dari Allah s.w.t. kita akan dapat menjawab segala persoalan yang dihadapi samada pada peringkat fardi (individu) mahupun jama’i (jamaah) ataupun dauli (antarabangsa).

Syarat Ketiga

Syarat yang ketiga adalah pertautan hati yang antara lain bermaksud untuk memerintahkan kita berjuang dan bergerak sebagai jamaah dan perhimpunan yang hati kita ini ditaut dengan ikatan iman, Islam dn ukhuwwah yang tidak mengenal sebarang perbezaan melainkan taqwa kepada Allah s.w.t.

Ikatan ini adalah ikatan yang simpulannya tidak boleh terungkai dengan permasalahan dan perbezaan furu’ tetapi yang sentiasa diarahkan oleh panduan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Syarat Keempat

Syarat keempat yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah konsep haraki (gerakan) apabila Allah s.w.t. menyebut ‘ketika mana mereka berdiri’.

Islam bukanlah merupakan ad-din untuk golongan al-mutafajirin (golongan yang hanya melihat) ataupun al-mutaqa’idin (golongan yang berpeluk tubuh) tetapi ianya bersifat haraki yang dinamik lagi produktif untuk sentiasa melahirkan suatu natijah dan tidak bersifat jumud (beku).

Ini tidaklah bermakna kita mengharapkan kepada natijah yang cepat tetapi ianya adalah merupakan satu rangsangan daya juang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.

Seterusnya ayat ini diakhiri dengan ikrar yang mengikat kuat hati pemuda-pemuda tadi kepada Allah s.w.t. dengan syahadah bahawa sesungguhnya Tuhan kami adalah Allah yang mencipta dan memiliki langit dan bumi, dan kami sesungguhnya berikrar bahawa Dialah sahaja yang wajib disembah dan ditaati perintahnya dan kami dengan syahadah ini membebaskan diri kami dari sebarang kompromi dan ikatan dengan sesuatu yang tidak bersifat rabbani.

Ikrar ini adalah sebagai janji setia kita dengan Allah yang bersifat aqad (ikatan) yang tidak boleh diingkari apatah lagi kalau diputuskan.

Keseluruhan tuntutan di atas adalah merupakan tugas yang dipikul oleh golongan pemuda. Tanggungjawab berat yang dipikul dalam era al-Shahwah al-Islamiyah (kebangkitan Islam) ini memerlukan kepada golongan syabab tadi melalui satu proses yang dikenali sebagai tajnid yang membawa erti memperkemaskan pemuda tadi ibarat satu kumpulan junud (tentera).

Proses ini adalah proses memupuk kefahaman yang jelas, tanzim (penyusunan) yang rapi dan amal yang mutawasil (berterusan) yang dibuat dalam bentuk tanzim ‘amal jama’i(penyusunan gerak kerja secara berjamaah).

18 November, 2008

CUTI DAN PERKAHWINAN

Cuti semester kembali lagi, kebanyakan mahasiswa mula berkira – kira untuk merancang aktiviti atau program yang ingin mereka lakukan pada masa cuti. Dan tidak kurang juga mereka yang tidak membuat planning apa – apa. Sahabat - sahabat dirumah sewa ( RV ) saya mula sibuk merancang untuk melaksanakan beberapa program bagi meningkatkan kefahaman Islam kepada pelajar – pelajar sekolah dan juga kepada mahasiswa.

Bagi mahasiswa yang aktif dikampus, cuti ini merupakan peluang terbaik bagi mereka untuk meluangkan sedikit masa bersama keluarga. Al-maklumlah bila dah terlampau aktif, kadang – kadang masa bersama keluarga itu amat sedikit. Saya sendiri beberapa kali ditegur dan dinasihat oleh kakak - kakak saya ( terutama kak tie ) supaya balik kampung.
Walaupun jarak kampung saya dengan tempat belajar tidaklah berapa jauh, lebih kurang dua jam setengah kalau menaiki motor.

Apabila ditanya kenapa tak balik kampung? Maka jawapan yang selalu saya berikan kepada kakak - kakak saya, ada program...kadang – kadang hati kecil ini berbisik bukan tak nak balik tapi disebabkan tanggungjawab dan amanah dikampus yang belum diselesaikan lagi.

Saya faham selaku seorang anak, saya juga perlu menyediakan masa bersama keluarga. Maka disini memerlukan kebijaksanaan untuk menyelesaikan antara dua perkara yang penting. Saya menyarankan kepada mereka yang aktif dikampus, rajin-rajinlah menghubungi keluarga supaya ibu bapa dan adik - beradik kita sentiasa merasai kehadiran kita walaupun kita jarang balik ke kampung.


Cuti semester kali ini merupakan paling banyak saya menerima perutusan raja sehari. Baik dari junior mahupun senior dan tak kurang juga dari sahabat - sahabat seperjuangan dari kampus yang berbeza. Sahabat – sahabat saya bertanya: enta bila pula? Saya hanya senyum ajer...lambat lagi kot...jawapan saya.

Buat sahabat – sahabat dan adik – adik yang membina bait muslim, tahniah diucapkan. Semoga bait muslim yang dibina berkekalan sepanjang hayat dan memberikan motivasi untuk terus berjuang dan istiqamah dalam perjuangan.


Maka bermulalah tanggungjawab baru yang perlu dipikul. Jika sebelum ini hidup berseorangan, maka sekarang berdua. Bila berdua ini, maka banyak perkara yang perlu difikirkan secara bersama. Isu ini sempat saya bincang bersama sahabat saya ( pitcan ) yang juga bakal membina bait muslim semasa kami dijemput untuk menghadiri suatu program baru – baru ini- Sekadar coretan ringkas.

- SELAMAT BERCUTI KEPADA SELURUH MAHASISWA /I -

Nik Aziz: Tiada istilah ketuanan Melayu dalam Islam

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tiada istilah ketuanan Melayu atau kelebihan terhadap satu bangsa ditekankan di dalam Islam.

Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam merupakan agama yang universal tidak memberi sebarang keutamaan kepada mana-mana bangsa melainkan kelebihan itu akan diberikan kepada individu yang mempunyai ketakwaan yang tinggi kepada Allah s.w.t.

"Di dalam Islam tidak mengira bangsa, apa yang penting adalah takwa kepada Allah s.w.t. Tidak kiralah bangsa apa, Cina, Melayu, India dan Arab.

"Tuhan hanya melihat ketakwaan seseorang itu... kerana bila kita bertakwa kita takut kepada Allah dan menjalankan tanggungjawab kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan restoran London Fish Tales, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan Melayu kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau menyifatkan perjuangan sesuatu parti terhadap satu bangsa tanpa mementingkan agama boleh membawa kepada satu kesan yang tidak sihat dan tidak berkekalan.

"Sebab itu saya masuk parti Islam, yang memperjuangkan agama kerana ianya tidak akan kehabisan. Matlamat perjuangannya sentiasa ada iaitu demi agama tanpa mengira kepentingan bangsa pun.

"Saya tidak duduk dalam politik yang gunakan Melayu, tetapi saya duduk dalam gerakan Islam," katanya - BERNAMA

16 November, 2008

BEBERAPA NOTA PERSIAPAN SEBAGAI AHLI GERAKAN

BEBERAPA NOTA PERSIAPAN SEBAGAI AHLI GERAKAN
Oleh: Mohd Khairul Hidayat Berahim
Pengerusi Tarbiyah GAMIS
Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan). ( Surah Al – Anfal : 60 )

1. KEFAHAMAN

 Said Hawa pernah berkata di dalam bukunya Al – Islam :
Maksudnya : “ Kefahaman itu adalah permulaan untuk semua perintah dan larangan”

 Imam Al – Syahid Hassan Al – Banna berkata : “Perkara yang saya maksudkan dengan faham ialah saudara meyakini bahawa fikrah kita adalah Islam yang tulin”. Faham juga merupakan rukun baiah yang pertama.

 Memahami dengan mendalam matlamat perjuangan organisasi,dasar – dasarnya, memahami liku – liku perjuangan, uslub atau pendekatan yang telah ditentukan serta mengenali kawan dan lawan.

2. KETAKWAAN

 Kalimah ‘Taqwa’ asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.

 Menurut Syara’, ‘Taqwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat

 Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda :

Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”. ( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas )

 Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”. Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa

Martabat Taqwa

Menurut Al-‘Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;

Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran .

Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan “Kalimat at-Taqwa” dalam firmanNya :

“…lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa …”. ( Surah Al-Fath . Ayat : 26 )

Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : “لا إله إلا الله محمد رسول الله” atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.

Martabat kedua : menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.

Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah

Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah swt ).” ( Surah Ali Imran. Ayat : 102

 Sifat ini perlu dihayati oleh semua ahli jamaah kerana anggota jamaah adalah “penterjemah amaliyyah” kepada dasar yang diperjuangkan

3. KEPATUHAN ( KETAATAN )

 Imam Bukhari meriwayatkan daripada Syaidina Umar Al – Kattab :
Maksudnya : Tidak ada Islam melainkan dengan jamaah dan tidak sempurna jamaah tanpa pimpinan dan tidak ada ertinya kepimpinan tanpa ketaatan

 Ketaatan kepada kepimpinan, kepatuhan kepada arahan organisasi adalah satu daripada kunci kejayaan amal jamaa’i.

 Ahli gerakan mestilah bersedia ditarbiyah sehingga menjadi “jundi” yang ikhlas dalam perjuangan.
Petanda Ikhlas seorang pejuang

1. Niat yang jelas
2. Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan
3. Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran
4. Tidak bermain dengan alasan
5. Bersedia menerima arahan
6. Prihatin terhadap organisasi
7. Menjaga rahsia organisasi

4. DISIPLIN ( INDHIBAT )

 Kehampiran seseorang individu dalam melaksanakan gerak kerja yang dituntut daripadanya sekadar termampu secara tepat, dengan syarat pelaksanaan kerja itu berlaku di dalam waktu yang ditetapkan dan kerja tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan menyeluruh kepada sesuatu kerja.

 Walaupun sesuatu organisasi itu memiliki banyak unsur kebaikan, tetapi ia akan menemui kegagalan jika tiada disiplin dan kerjasama dikalangan ahlinya.

5. UKHUWAH

 Ukhuwah Islamiyyah ialah persaudaraan atau kasih sayang yang bermatlamatkan mardhatillah.

 Merupakan kurniaan dan pemberian daripada Allah yang dilontarkan –Nya kedalam hati – hati hambanya yang ikhlas dan suci.

Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka ( yang beriman itu ). Kalaulah engkau belanjakan segala ( harta benda ) yang ada dibumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka. Sesungguhnya Ia maha kuasa lagi Maha bijaksana
( Surah al – Anfal : 63 )

 Rukun Baiah yang ke – 9

 Serendah – rendah ukhuwah ialah berlapang dada dan setinggi – tinggi ukhuwah adalah ithar
Syarat – Syarat Ukhuwah

1. Dibina berdasarkan keikhlasan kepada Allah
2. Disertai dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah
3. Melazimi diri dengan manhaj Islam
4. Mempraktikkan nasihat menasihati
5. Melaksanakan konsep tolong menolong samada susah ataupun senang.


RUJUKAN
1. Hj. Yahya Othman. ( 2006 ). AMAL JAMA’I (Pengertian dan Tuntutannya ).Shah Alam. Dewan Pustaka Fajar.
2. Muhammad Abdullah Al –Khatib. ( 2001 ). Penjelasan di sekitar Risalah Ta’alim. Shah Alam. Dewan Pustaka Fajar.
3. Hj. Nasruddin Hj. Hassan at – Tantawi. ( 2001 ). Pra Syarat kemenangan Kita. Pahang Darul Makmur. Usrah As – Syabab.
4. Dr. ‘Adil Syuwaikh. Indhibat ( Disiplin )

15 November, 2008

BEBERAPA PANDANGAN ULAMA KONTEMPORARI TERHADAP WANITA

SHAHRIZAT menyambut kedatangan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd Salleh (kanan) dan ahlinya pada Majlis Perjumpaan dan Dialog Senada Bersama Muslimat Pas di pejabatnya di Putrajaya.

Syed Qutb, dalam tafsir beliau Fi Zilal al-Quran, menegaskan bahawa wanita dari segi fitrah kejadian dan kemanusiaan adalah berasal daripada manusia yang pertama, iaitu Adam. Ia dicipta dengan tujuan untuk dijadikan isteri kepada Adam sendiri bagi meneruskan kesinambungan generasi manusia, lelaki dan wanita. Berasaskan kepada hakikat ini, kata beliau, tidak ada perbezaan langsung di antara dua jenis manusia ini.

Selanjutnya beliau menegaskan bahawa wanita adalah salah satu daripada dua bahagian manusia yang saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Bahagian yang satu lagi ialah lelaki. Oleh kerana itu kedua-dua lelaki dan perempuan ini tidak serupa, agar sesuai untuk menjadi sepasang yang seling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Penegasan yang berasaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah ini sudah cukup untuk menolak beberapa gambaran negatif tentang wanita di kalangan sesetengah orang, seperti anggapan bahawa wanita sebagai manusia kelas dua atau merupakan punca kepada segala keburukan dan kejahatan.

Selaras dengan persamaan dari segi kemanusiaan dan asal kejadian ini, wanita dan lelaki mempunyai peluang yang sama untuk melakukan apa sahaja amal kebajikan dan untuk mendapat ganjaran daripada Allah berasaskan amal berkenaan. Berasaskan ayat 124 surah al-Nisa’, Syed Qutb menegaskan bahawa dari segi beragama dan beramal soleh wanita sama dengan lelaki. Masing-masing akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya dengan setiap kebaikan dan keburukan yang mereka lakukan.

Kata Syed Qutb lagi, berasaskan kepada ayat-ayat al-Quran yang menyebut tentang amal soleh, sama sekali tidak ada perbezaan berasaskan jantina dalam penerimaan amal soleh dan menentukan pembalasan di akhirat nanti.

Manakala al-Qurtubi dalam tafsir beliau al-Jami` Li Ahkam al-Quran berkata setiap kebaikan atau kejahatan yang dilakukan oleh lelaki atau perempuan, tetap ada ganjarannya.

Mustafa al-Suba`i pula, dalam buku beliau al-Mar’ah Baina al-Fiqh Wa al-Qanun menegaskan tentang persamaan hak bagi lelaki dan perempuan dalam mencari ilmu dan membina intelektual. Berasaskan kepada persamaan ini, kata beliau, mempelajari ilmu yang berkaitan dengan agama secara khususnya, seperti akidah, ibadat, halal-haram dan sebagainya wajib atas kedua-dua kaum lelaki dan perempuan tanpa pengecualian.

Dalam nada yang sama penegasan juga dibuat oleh al-Imam Mahmood Syaltut, Syekh al-Azhar pada waktu itu dalam buku beliau al-Islam Aqidah Wa Syariah. Kata beliau, dari segi memikul tanggungjawab agama dan keupayaan seseorang dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, tidak ada apa-apa perbezaan di antara kaum lelaki dan wanita. Malah, kaum wanita lebih cepat memikul tanggungjawab berkenaan sebelum lagi ia dipikul oleh kaum lelaki. Ini kerana pencapaian umur kelayakan memikul tanggungjawab beragama, dari segi tabiat kejadian manusia, lebih cepat di kalangan kaum wanita, berbanding kaum lelaki. Maksudnya wanita lebih cepat baligh daripada lelaki.

Sehubungan dengan ini Dr. Ali Ab Wahid Wafi dalam buku beliau al-Musawat Fi al-Islam telah menyebut bahawa sesungguhnya Islam telah memberi peluang yang secukupnya kepada kaum wanita untuk mendapat pendidikan yang tinggi. Sekiranya peluang ini dimanfaatkan oleh kaum wanita tentunya mereka akan dapat menyaingi kaum lelaki. Sesungguhnya, kata beliau apa yang menyebabkan kaum wanita dahulunya dikatakan bodoh dan tidak berilmu bukanlah disebabkan oleh sistem pendidikan Islam, tetapi sebaliknya berpunca daripada penyelewengan umat Islam sendiri terhadap apa yang sebenarnya dikehendaki oleh sistem pendidikan Islam itu sendiri. Kata beliau lagi, apa yang dilakukan oleh umat Islam pada hari ini dengan membuka peluang kepada kaum wanita untuk menceburi bidang pendidikan secara lebih jauh dan mendalam bukanlah suatu ciptaan baru dalam Islam. Malah ia adalah suatu penghayatan semula terhadap sunnah Rasulullah s.a.w. yang pernah digariskan oleh baginda dan diterima oleh para fuqaha sesudahnya.

Dalam hal pemilikan harta dan kekayaan, al-Syekh Mahmood Syaltut menegaskan bahawa tiada seorang pun para fuqaha Islam yang berpendapat bahawa segala nas yang berkait dengan urusan kehartaan hanya khusus untuk kaum lelaki sahaja, dan tidak melibatkan kaum wanita. Berasaskan kepada ayat-ayat al-Quran yang ada, kata beliau ternyata bahawa Islam menghormati hak milik wanita dalam hal-hal mengenai harta kekayaan. Begitu juga Islam mengiktiraf keupayaan dan kelayakan mereka dalam pengurusan harta sepertimana yang diberikan kepada kaum lelaki.

Mengenai kekeluargaan pula Syed Qutb dalam mentafsirkan ayat pertama surah al-Nisa’ dalam kitab tafsir beliau Fi Zilal al-Quran menjelaskan bahawa sesungguhnya pembentukan keluarga yang pertama di muka bumi ini adalah hasil gandingan bersama suami isteri yang bernama Adam dan Hawa, di mana kedua-dua mereka berasal daripada diri yang satu, tabiat yang satu dan fitrah yang satu. Kesemuanya ini, kata beliau berlaku dengan kehendak Allah s.w.t. yang mengetahui segala sesuatu hikmahnya, walaupun ia mampu untuk mencipta rangkaian generasi manusia dengan beberapa buah keluarga di peringkat awal lagi, namun itu tidak dilakukannya.

Apa yang dimaksudkan oleh beliau, berasaskan kepada ayat berkenaan, lelaki dan wanita sama-sama menjadi asas kepada perkembangan generasi manusia sejagat.

Dalam mentafsirkan ayat 13 surah al-Hujurat pula beliau menegaskan bahawa manusia itu dicipta daripada gandingan lelaki dan wanita secara bersama. Kesemuanya dengan tujuan mengerat dan memperkukuhkan ikatan sesama mereka, bermula dengan ikatan ketuhanan dan kemudian disusuli dengan ikatan kekeluargaan.

Mengenai politik pula al-Syaikh Muhammad Rasyid Redha dipetik sebagai berkata bahawa kaum lelaki dan wanita sama-sama berganding bahu dalam masalah masyarakat, politik atau negara. Penegasan yang sama dibuat oleh ramai para ulama Islam semasa, termasuk Muhammad Sa`id Ramadhan al-Buti. Antara hujah yang mereka kemukakan ialah penyertaan tokoh-tokoh wanita awal Islam, seperti `Aisyah, Ummu Salamah, Hind binti Abu Umaiyah dan ramai lagi.

Dalam aspek sosial pula Syed Qutb menjelaskan bahawa walaupun al-Quran menyebut wanita perlu berada di rumah tetapi tidak bererti mereka tidak dibenarkan keluar sama sekali. Kata beliau, apa yang difahami daripada ayat berkenaan ialah rumahtangga adalah tempat sebenar bagi mereka, dan apa-apa yang selain daripada itu adalah suatu pengecualian yang boleh diberi apabila diperlukan dan dengan kadar yang tertentu. Ini, kata beliau, kerana rumahtangga satu-satunya tempat yang menjamin nilai-nilai kewanitaan terpelihara seperti yang dikehendaki oleh Allah.

Menyentuh masalah ini al-Syekh Muhammad al-Ghazali telah memberi pandangan dnegan berkata Islam sebenarnya menolak adat sesetengah umat yang mengurung kaum wanitanya di dalam rumah dan mengikat mereka dengan berbagai-bagai hak dan tanggungjawab, sebagaimana juga Islam menolak adat-adat yang menjadikan mereka sebagai makanan atau hidangan yang boleh dinikmati oleh siapa sahaja sesuka hati dengan membelakangkan segala prinsip ini. Kata beliau, kaum wanita boleh bekerja samada di dalam rumahtangga atau di luar rumahtangga. Cuma apa yang diperlukan ialah jaminan agar masa depan keluarga terjaga dan terpelihara. Di samping itu, diperlukan juga kepada suasana yang boleh menjamin diri wanita terpelihara dari segala fitnah semasa mereka menjalankan kerja-kerja berkenaan dan tidak melanggar segala batas-batas yang ditetapkan oleh Allah s.w.t., seperti tidak berhias, tidak mendedahkan aurat dan tidak bergaul secara bebas.

Pandangan yang sama juga diberikan oleh Dr. Abd. Wahid Wafi dalam buku beliau al-Musawat Fi al-Islam. Kata beliau, wanita boleh melakukan kerja-kerja kebajikan yang termampu dilakukan olehnya dan yang sesuai dengan sifat kewanitaannya, dengan syarat penglibatan tersebut tidak menimbulkan apa-apa fitnah, samada daripada atau ke atas dirinya, dan tidak menimbulkan apa-apa kemudaratan samada dari segi sosial atau akhlak. Untuk mematuhi segala ketetapan hukum sepertimana yang terdapat dalam Islam, misalnya dengan menutup aurat dan tidak bergaul dengan terlalu bebas. Adalah penting juga, kata beliau bahawa kerja-kerja tersebut tidak menganggu tugas-tugasnya dalam rumahtangga sebagai isteri dan ibu.

Dalam aspek undang-undang dan keadilan juga para ulama berpendapat tiada apa-apa perbezaan yang dibuat oleh Islam antara lelaki dan perempuan. Kata al-Syekh Mahmood Syaltut, dalam hal-hal kekeluargaan dan urusan sivil tidak ada perbezaan kapasiti hukum dan undang-undang yang berasaskan jantina. Dengan erti, perempuan boleh mengurus sendiri dengan sepenuh kuasa segala harta bendanya. Mereka juga boleh ikut campur dalam segala aktiviti pengadilan, guaman boleh menjadi pendakwa dan terdakwa, boleh menjadi saksi atau pihak tertuduh, samada secara bersendirian atau secara berkelompok, boleh menjadi pewasiat atau penerima wasiat, boleh menjadi nazir wakaf, ejen atau penerima sedekah atau hadiah, penjaga atau sebagainya mengikut apa yang boleh dilakukan oleh lelaki. Hal yang sama juga berlaku dalam perkara mengenai jenayah.

Isu – Isu Yang Berkaitan Dengan Wanita Menurut Al-Syekh Muhamad Al-Ghazali

Antara isu-isu yang selalu menarik perhatian ialah mengenai hijab, kepimpinan wanita dan peranan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara. Supaya perbincangan tidak menjadi terlalu panjang, dalam tulisan ini hanya akan dimuatkan pandangan-pandangan al-Syekh Muhamad al-Ghazali bagi mewakili ulama kontemporari. Sedia maklum beliau merupakan ulama kontemporari yang sangat dihormati dan mempunyai reputasi keulamaan yang tinggi.

Sehubungan dengan hal ini ada dua buah buku al-Syaik Muhamad al-Ghazali yang perlu diketengahkan iaitu al-Sunnah al-Nabawiyah Baina Ahl al-Fiqh Wa Ahl al-Hadith, dan Qadhaya al-Mar`ah Baina al-Taqalid al-Ra’kidah Wa al-Wafidah.

Antara isu yang disentuh oleh al-Ghazali dalam buku-buku tersebut ialah mengenai “hijab”. Dalam buku beliau al-Sunnah al-Nabawiyah Baina Ahl al-Fiqh Wa Ahl al-Hadith beliau dengan tegas menolak pandangan tradisi dalam masyarakat Arab yang berpendapat perempuan perlu menutup muka apabila berada di luar rumah, apalagi yang mengatakan bahawa perempuan tidak sepatutnya keluar daripada rumah, berasakan kepada prinsip hijab.

Kata beliau, pandangan seperti itu bertentangan dengan banyak hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang membayangkan bahawa muka wanita pada zaman baginda tidak ditutup. Malah, mengikut beliau lagi terdapat juga ayat-ayat al-Quran yang tidak selaras dengan tafsiran yang menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan hijab itu ialah menutup seluruh badan atau tidak langsung keluar rumah.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa perbuatan menutup muka itu adalah berasaskan kepada adat semata-mata yang bukan sahaja dilakukan oleh sesetengah orang di zaman Islam, tetapi juga di zaman jahiliah. Sehubungan dengan itu beliau menegaskan bahawa beliau bukan keseorangan berpendapat begitu, kerana itulah juga pendapat para mufassirin dan fuqaha yang ternama dalam Islam. Antara mereka ialah al-Jassas, al-Qurtubi, al-Khazin, Ibnu Kathir, Ibnu Qudamah dan al-Tabari.

Dalam buku yang sama juga beliau memperkatakan tentang kontradiksi yang sangat jelas dalam masyarakat sekarang antara tradisi lapuk masyarakat Islam yang mengurung wanita dalam rumah dan budaya barat yang mengharuskan apa sahaja asalkan ianya diingini. Kata beliau, kedua-dua fenomena ini tidak sesuai dengan pandangan Islam yang sebenar.

Kata beliau, perempuan boleh bekerja samada di dalam atau di luar rumah. Tetapi perlu ada jaminan persekitaran yang kondusif yang boleh mengawal wanita berkenaan daripada terjurumus ke dalam lembah maksiat atau pengabaian terhadap tugas rumahtangga.

Sehubungan dengan ini beliau boleh bersetuju kalau separuh daripada para pekerja di setiap sektor dalam masyarakat terdiri daripada kaum wanita. Bagaimanapun beliau menyatakan kebimbangan terhadap kebiasaan menyerahkan anak sepenuhnya kepada pembantu rumah atau tempat penjagaan kanak-kanak. Oleh kerana itu beliau mencadangkan supaya diusahakan berbagai-bagai cara bagi memudahkan wanita bekerja memberi perhatian yang secukupnya terhadap pendidikan anak-anak.

Mengenai sokongan beliau terhadap kehadiran kaum wanita dalam sektor kerja dalam masyarakat, beliau memperkukuhkan dengan pengalaman beliau sendiri mengenali ramai para karyawan wanita yang begitu kuat beragama dan konsisten terhadap segala amalan di dalamnya. Ini menunjukkan bahawa kerja di luar rumah tidak semestinya mendorong seseorang melanggar batas-batas agama, asalkan sahaja terdapat persediaan dalaman dan luaran untuk menghadapi semuanya itu.

Malah beliau menyebut perana kaum wanita Yahudi yang memainkan peranan besar dalam mengalahkan orang-orang Arab dalam peperangan- peperangan yang berlaku di antara kedua belah itu, terutama Perdana Menteri wanitanya yang dapat mengalahkan para pemimpin dan pemerintah Arab yang semuanya terdiri daripaa kaum lelaki.

Begitu juga beliau menyebut tentang para misionari yang terdiri dari kaum wanita yang begitu gigih berusaha mengkristiankan para penduduk di sebelah utara Afrika dan di negara-negara lain juga. Malah peranan para sukarelawati Eropah yang begitu tekun membantu para pelarian Palestin di khemah-khemah pelarian mereka tanpa mengira penat dan susah.

Semua aktiviti kaum wanita bukan Islam ini, kata beliau, mengingatkan beliau kepada para wanita Islam di zaman awal yang begitu gigih sekali memperjuangkan Islam. Mereka sanggup menghadapi segala kesusahan dengan berani, sanggup sama-sama berhijrah dan malah sanggup ke medan perang apabila diperlukan.

Dalam buku yang sama beliau juga menyebut tentang kepimpinan wanita. Kata beliau, asas kedudukan antara lelaki dan perempuan jelas termaktub dalam al-Quran, iaitu berasaskan kepada kerja yang dilakukan oleh masing-masing. Rasulullah s.a.w. juga, kata beliau menegaskan bahawa wanita itu saudara kandung bagi lelaki.

Sehubungan dengan ini beliau menyebut pandangan Ibn Hazm yang berpendapat wanita boleh menjawat apa sahaja jawatan kecuali jawatan Khalifah Agong (al-Khalifah al-Uzma). Bagaimanapun, kata beliau pandangan Ibn Hazim ini dipertikaikan oleh sesetengah kalangan berasaskan kenyataan dalam al-Quran yang menyebut bahawa lelakilah yang memimpin wanita.

Mengenai pertikaian ini dan hujah yang digunakan, al-Ghazali menyebut ia adalah satu kekeliruan. Kata beliau, maksud ayat tersebut ialah kepimpinan dalam keluarga dan bukan kepimpinan awam. Ini, jelas beliau selanjutnya dapat difahami daripada huraian seterusnya dalam ayat yang sama.

Mengenai hadis yang menegaskan bahawa sesiapa yang melantik wanita menjadi ketua akan kecewa. Kata beliau hadis itu tidak memberi erti wanita tidak dibenarkan memimpin. Bagi beliau, hadis tersebut khusus menyatakan realiti pemerintahan di negara Parsi pada waktu itu, di mana ia dikuasai oleh pemerintah wanita secara kuku besi. Maka maksud hadis tersebut, kata beliau ialah untuk mengecil-ngecilkan kehebatan pemerintah Parsi yang terus sahaja kalah di medan perang dan gagal membuat rombakan politik bagi menyingkir pemerintah yang korup itu.

Sebenarnya kata beliau, kejayaan dan kegagalan kepimpinan itu tidak ada kaitan langsung dengan jantina para pemimpin. Dalam al-Quran sendiri terdapat kisah tentang Balqis, iaitu seorang raja perempuan yang berjaya dalam pemerintahnya. Dalam realiti hidup sekarang juga terdapat contoh-contoh yang banyak yang boleh membenarkan kenyataan seperti itu. Kata beliau, Indera Ghandhi berjaya memecahkan Pakistan kepada dua, sementara Yahya Khan kalah dalam perang berkenaan. Golda Mayer dapat mengalahkan para pemerintah Arab yang semuanya lelaki.

Dalam buku beliau yang satu lagi, iaitu Qadhaya al-Mar’ah Baina al-Taqalid al-Rakidah Wa al-Wafidah al-Ghazali menyebut banyak perkara. Di bawah tajuk “Perbaiki Imej Wanita Islam” beliau memperingatkan ia ada kaitan dengan penerimaan atau penolakan dunia luar terhadap Islam. Bagi tujuan tersebut beliau mencadangkan masyarakat Islam menerima pandangan yang paling fleksibel tentang wanita dalam Islam, seperti pandangan mazhab Zahiri dan tidak menjadikan khilaf para fuqaha dalam hukum cabang sebagai penghalang terhadap penerimaan masyarakat luar terhadap akidah Islam.


Di bawah tajuk “Peranan wanita yang hilang” beliau memperingatkan bagaimana wanita di barat sedang memainkan peranan penting dalam segenap bidang dalam masyarakat, begitu juga wanita Yahudi. Sedangkan wanita Islam belum mempunyai peranan seperti itu, sebaliknya dilihat sebagai golongan larangan; menyebut namanya suatu keaiban, melihat mukanya haram, sementara suaranya aurat.


Diolah dari sumber:

WANITA DALAM PEMIKIRAN ULAMA KONTEMPORARI

Prof. Madya Datin Dr. Paizah Hj Ismail

14 November, 2008

KEPENTINGAN ASPEK PERANCANGAN TANZIM DALAM KISAH NABI SULAIMAN A.S DENGAN KERAJAAN SABA'

Bahawa betapa pentingnya sesebuah jama’ah Harakah Islamiyyah menyusun dan memperkemaskan tanzim Jama’ahnya, telah banyak kali dibahaskan oleh para ulamak haraki termasuklah al-Imam Hasan al-Banna sendiri yang telah menyusun suatu sistem tarbiyyah Ikhwan yang amat berkesan. Usaha gigih beliau disambung dengan tekun oleh Syaikh Hasan Hudaybi , al-Ustaz Mustafa Masyhur, al-Ustaz Sa`id Hawwa dan al-Ustaz Fathi Yakan (sekadar menyebut beberapa nama sahaja ). Di dalam al-Qur’an, Allah SWT telah menyebutnya beberapa kali, antaranya dalam surah as- Soff :

Sesungguhnya Allah SWT amat mengasihi orang-orang yang berperang pada jalan-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff: Ayat 4)


Asy-Syahid Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilal al-Qur’annya telah menguraikan dengan terperinci ruh dan tuntutan sebenar yang disyariatkan oleh Islam di dalam ayat tersebut di mana Allah SWT mewajibkan Islam ditegakkan secara berencana dan berjamaah dalam satu tanzim yang tersusun rapi laksana sebuah bangunan kukuh yang dimithalkan dengan sususan saff angkatan perang.


Ahli dan pimpinan perlu djuga ditarbiyyah supaya menitikberatkan aspek-aspek pengurusan tanzim jamaah dan yang paling penting ialah aspek perancangan dalam jamaah. Terdapat enam (6) kriteria utama dalam perancangan sesuatu organisasi, iaitu:-



  1. Analisis suasana persekitaran

  2. Penentuan matlamat

  3. Menyediakan input/alternatif

  4. Menentukan input/alternatif

  5. Pelaksanaan

  6. Pengawalan

Kita dapat menganalisis keenam-enam kriteria di atas dengan mengambil satu kisah yang amat menarik yang menjelaskan kepada kita bagaimanakah sebuah jamaah Islam disusun di bawah pimpinan seorang ketua. Di dalam al-Qur’an, surah an-Naml ayat 15 – 44, telah dikisahkan bagaimana Nabi Allah Sulaiman AS telah berda’wah dan menyusun bala tenteranya untuk menghadapi kerajaan yang tidak tunduk patuh kepada Allah SWT, iaitu Kerajaan Saba’ pimpinan Maharani Balqis.


Pada permulaan cerita itu telah dikisahkan bahawa Nabi Allah Sulaiman AS telah menyusun bala tenteranya yang terdiri daripada jin, manusia dan burung untuk menyerang tentera Balqis yang engkar terhadap Allah SWT dan seruan Nabi Sulaiman AS supaya tidak menyembah matahari dan cakerawala, sebaliknya beriman kepada Allah SWT.


Di dalam tanzim Nabi Allah Sulaiman AS itu, kita melihat bagaimana Nabi membuat semakan (check-list) persiapan saff Jundu’Llahnya dan mengesan ketidakhadiran burung Hud-Hud (Belatuk). Baginda AS mengecam tingkahlaku Hud-Hud itu yang gagal mematuhi arahan baginda AS selaku Ketua Tentera. Hampir-hampir Nabi AS ingin mengambil tindakan disiplin ke atas Hud-Hud (dengan menyembelihnya) tetapi Hud-Hud yang berada tidak jauh dari situ, yang mendengar kemarahan pimpinannya lalu bergegas segera, (mungkin diberitahu oleh sahabatnya) datang menyembah membawa berita bahawasanya ketidakhadirannya bukan disengajakan malah ia telah mengintip kekuatan bala tentera Maharani Balqis.


Kita saksikan di peringkat cerita ini bagaimana Nabi Allah Sulaiman AS amat memahami kekuatan bala tenteranya dan menganalisis suasana persekitarannya:


  • Siapakah yang terpilih menganggotai tenteranya;

  • Cukupkah bilangan tenteranya;

  • Tindakan disiplin akan diambil kepada yang engkar;

  • Keperihatinan Nabi tentang keluhan Raja Semut yang meminta semut-semut sekalian menyembunyikan diri takut-takut kalau dipijak oleh bala tentera Nabi Sulaiman AS;

  • Kebolehan Hud-Hud membela diri.

Selanjutnya Nabi Sulaiman AS telah secara terus terang menyatakan matlamatnya ingin menyampaikan Risalah Islam atau jika Maharani Balqis engkar, Nabi AS akan menyerang. Mesej warkah yang diutuskan jelas menyatakan Da’wah yang dibawanya agar maharani Balqis dan seluruh rakyatnya menyembah Allah SWT.

Surat tersebut diarahkan untuk dibawa oleh Hud-Hud sendiri, sebagai ujian apakah Hud-Hud berkata benar atau ia termasuk di kalangan golongan mereka yang berdusta. Amat jelas kandungan surat tersebut apabila Nabi berkata:


Pengiriman warkah oleh Nabi merupakan alternatif terbaik Nabi AS kepada Balqis sebelum Nabi menyerangnya jika kandungan surat itu ditolak. Pemergian Hud-Hud terbang membawa warkah Nabi, kesungguhan Nabi akan menyerang, tawaran membawa Singgahsana Balqis di hadapan mata Nabi oleh ‘Ifrit yang ditolak oleh Nabi sebaliknya menerima tawaran seorang yang mempunyai ilmu daripada Kitab Allah SWT jelas menunjukkan kepada kita bahawa Nabi amat serius dan terus melaksanakan rancangannya. Ingatlah Hud-Hud diminta balik segera setelah melaksanakan tugasnya menyampaikan warkah (kemudian kamu berundurlah daripada mereka, dan [nantilah untuk] melihat apakah jawapan yang mereka balaskan kembali).


Amat jelas bahawa Nabi Sulaiman AS menggunakan strategi terbaiknya untuk melaksanakan serangan, amat berhati-hati, memberi peluang terakhir kepada musuh untuk bertaubat kembali kepada Allah SWT tetapi tetap teguh dengan pendirian asal untuk menyerang jika mereka engkar.

Cerita menarik ini juga memperlihatkan kawalan yang cukup baik dan kemas dilakukan oleh Nabi Sulaiman AS dalam menyusun tanzimnya sebagai berikut:


(i) Mengawal anggota tenteranya: burung, Jin dan manusia;
(ii) Mengawal dirinya dengan sentiasa mengingati Allah;
(iii) Mengawal diri dan tenteranya apabila berhadapan dengan musuh.


Penolakan Nabi AS terhadap tawaran hadiah oleh Maharani Balqis membuktikan keupayaannya istiqamah dengan perjuangannya. Jelasnya, prinsip perjuangan organisasi Islam tidak boleh digadaikan dengan apa jua bentuk pujukan.


Satu aspek yang perlu kita pelajari daripada kisah ini juga ialah bagaimana pihak musuh juga merencana dan membuat persiapan untuk menghadapi Jama’ah Islam. Maharani Balqis meminta pandangan pembesar-pembesarnya bagaimanakah cara terbaik untuk menghadapi tentera Nabi Sulaiman AS.

Dan setelah dimaklumkan bahawa Nabi Sulaiman merupakan seorang Raja yang gagah lagi perkasa, beliau memilih kaedah lembut, iaitu dengan memberikan tawaran hadiah dan godaan. Pada fikiran Balqis, itulah kaedah terbaik untuk melembutkan hati Nabi Sulaiman AS agar membatalkan hasratnya untuk menyerang. Inilah strategi musuh yang mesti kita pelajari agar kita tidak mudah terperangkap dan tertipu. Ingatlah pesan Sayyidina ‘Ali Abi Talib bahawa :


Perencanaan batil (musuh) yang tersusun kukuh hampir pasti menumbangkan kebenaran (Islam) yang kucar-kacir”.


Dalam kisah di atas adalah jelas kepada kita bahawa ketaqwaan Nabi Sulaiman AS, kemurahan hatinya, ketegasan kepemimpinannya, keberaniannya menghadapi musuh dengan tidak ada rasa takut atau boleh dipujuk-rayu dan ketelitiannya merencana dan menyusun bala tenteranya membolehkan baginda beroleh kejayaan. Inilah model tarbiyyah yang hendak kita terapkan dalam Jamaaah. Inilah di antara sifat-sifat Jundu’Llah yang perlu ada dalam Jama’ah Islam untuk beroleh kejayaan.

Sumber :
Pemerkasaan Wasilah Tarbiyyah
Ustaz Nasharudin Mat Isa

12 November, 2008

POLEMIK ISU KLIP VIDEO SAJAK KEMATIAN HARUS DIBERHENTIKAN


Isu bantahan klip video sajak kematian mula mendapat perhatian Kementerian Pelajaran Malaysia. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Hishammuddin yang merupakan Menteri Pelajaran Malaysia, Kementerian Pelajaran akan mengadakan siasatan berhubung penggunaan klip video 'Sajak Kematian' di sekolah seperti dilaporkan media sebelum ini.

Beliau juga menyatakan pandangan kurang bersetuju dengan penggunaan klip video tersebut disebabkan tahap umur pelajar yang masih terlalu muda dan pendekatan yang digunakan kurang berhemah.

Saya selaku bakal bergelar pendidik dalam jurusan Pendidikan Islam berasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara komprehensif bagi merungkai permasalahan yang berlaku.

Dalam bidang pendidikan Islam, saya diajar dengan pelbagai method untuk membuatkan sesi pengajaran itu berjalan dengan efektif. Antara salah satu method tersebut ialah kaedah targhib dan tarhib. Secara ringkasnya, targhib bermaksud menggalak dan mendorongkan seseorang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara yang baik dan berakhlak mulia. Manakala tarhib pula bermaksud menakut-nakutkan seseorang supaya tidak cuai dalam menunaikan ibadat dan berakhlak baik.

Dalam isu klip video ini, saya melihat kaedah tarhib ini telah diaplikasikan bagi menakut – nakutkan pelajar daripada meninggalkan solat. Realiti kebanyakkan guru sekarang lebih gemar memilih penggunaan tayangan video semasa sesi pengajaran kerana ia didapati lebih berkesan kepada pelajar untuk faham berbanding kaedah biasa iaitu kuliah.

Pepatah melayu ada mengatakan melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Dalam isu ini, saya bersetuju tayangan klip video tersebut ditayangkan kepada pelajar.Ini kerana Falsafah Pendidikan Negara ( FPN ) sendiri telah menyatakan dalam melahirkan individu yang seimbang dan harmonis perlu diterapkan 4 unsur iaitu emosi, rohani, intelektual dan jasamani. Dalam umur pelajar yang meningkat remaja, mereka perlu sentiasa dididik bukan dihalang dalam melakukan sesuatu perkara. Ibu bapa dan guru mamainkan peranan penting dalam membentuk minda pelajar yang berfikir secara rasional dan kritis.

Lebih – lebih lagi di era globalisasi ini, saya beranggapan pemikiran pelajar – pelajar semakin terkehadapan kerana mereka sering didedahkan dengan maklumat – maklumat semasa tanpa ada sekatan. Bagi saya sepatutnya yang perlu Kementerian Pelajaran beri perhatian adalah kebanjiran cerita – cerita tahyul dalam media – media perdana sekarang. Walaupun ia diluar bidang kuasa kementerian tetapi KPM bertanggungjawab bagi menyediakan alternatif untuk menangkis serangan pemikiran tahyul dan kurafat dalam pemikiran diri pelajar. Bagi saya, pendidikan yang berkesan adalah pendidikan yang menjawab persoalan semasa bukan pendidikan sekadar formula dan memenuhi tuntutan silibus sahaja.

Justeru, saya melihat isu klip video ini bukan suatu isu yang besar yang perlu diberi perhatian oleh pihak KPM kerana terdapat banyak isu pendidikan yang lebih besar seperti isu moral pelajar yang semakin membimbangkan, isu prasarana sekolah yang tidak mencukupi, isu berkaitan dengan guru ( gaji dan penempatan ) dan isu kegagalan sekolah melahirkan individu yang seimbang dari sudut akademik dan juga sahsiah diri.

Mohd Khairul Hidayat Berahim
Exco Kerohanian
Sarjana Muda Pendidikan Islam Universiti Malaya

TAWAKKAL


Dari Umar bin Khattab berkata, Rasulullah saw bersabda: “Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, tentu Dia akan memberikan rezeki kepada kamu seperti burung yang diberi rezeki, pergi dalam keadaan lapar dan pulang dalam keadaan kenyang.”[HR At-Tirmidzi]

Bersyukur kepada-NYA kerana pada hari ini saya berjaya menghabiskan paper yang terakhir untuk peperiksaan semester kali ini. Saya membuat sujud syukur kepada Allah kerana mengurniakan kesihatan kepada saya selama mana saya menjalani peperiksaan. Saya bertawakal kepada Allah semoga segala usaha yang dilakukan membuahkan hasil kejayaan yang cemerlang.

Seringkali saya panjatkan doa kepada Illahi: Jika dengan kejayaan didalam peperiksaan ini membuatkan saya terus istiqamah dalam gerakan Islam, maka Izinkanlah. Jika sebaliknya saya serahkan segala – galanya kepada-NYA. Ini bukan bermaksud saya tidak mahukan kejayaan. Namun apa yang saya risaukan ialah apalah guna kejayaan tersebut jika diri saya semakin jauh terhadap perjuangan Islam. Kebiasaanya manusia itu bila diuji dengan kesusahan ia mampu untuk hadapi tetapi bila diuji dengan kesenangan sukar untuk diatasi.

11 November, 2008

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM


11 Nov 2008 – Hari ini bermulanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ). Menurut Kementerian Pelajaran, seramai 442,936 calon akan menduduki peperiksaan berkenaan di 3,930 pusat peperiksaan di seluruh negara

Daripada jumlah itu, 388,079 atau 87.6 peratus adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran, 16,019 (3.6 peratus) calon tajaan badan-badan tertentu, 10,331 (2.3 peratus) calon sekolah swasta serta 28,507 (6.5 peratus) calon persendirian.

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya buat semua calon peperiksaan SPM. Mudah – mudahan adik – adik semua beroleh kejayaan yang cemerlang.

Pesanan saya untuk adik – adik, jangan lupa mohon restu daripada kedua ibu bapa, banyakkan berdoa kepada Allah disamping pertingkatkan amal ibadah kepada-NYA. Sesunguhnya kejayaan didalam peperiksaan merupakan wasilah untuk memudahkan kehidupan kita pada masa akan datang, namun harus diingat ia bukan menjadi alasan untuk kita tidak mendapat yang TERBAIK. Dan yang pasti matlamat kita adalah sama iaitu mencapai keredhaan daripada Allah SWT.- Mohd Khairul Hidayat Berahim ( SPM 2002 )

09 November, 2008

Sunnah Orang Berjuang

Jiwa ini bergelojak apabila menghayati lirik nasyid dibawah. Pertama kali menyanyikan nasyid ini bersama – sama sahabat – sahabat begitu membekas didalam hati kecil ini. Hampir 6 tahun kenangan itu berlalu namun masih segar di ingatanku. Mudah – mudahan perjuangan suci ini mendapat keberkatan dari illahi. Ya Muqallibal Qulub, Thabbit Qulubana a’la dinika wa to’atik


Berjuang menempah susah

Menanggung derita menongkah fitnah

Itulah gelombang hidup samudera duka

Seorang mujahid memburu syahid.


Dibuang dia berkelana

dipenjara dia uzlah dibunuh syahid

Namun jiwa tetap mara menuju cita

membara demi Allah dan Rasul-Nya.


Berjuang tak pernah senang

Ombak derita tiada henti

Senang susah silih berganti

Inilah sunah orang berjuang.


Malamnya bagai rahib merintih sayu

Diiring serta air mata

Siangnya bagaikan singa di rimba

Memerah keringat meluah tenaga.


Berjuang memang pahit

Kerana syurga itu manis

Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar

Bukan sedikit pedih yang ditagih.


Berjuang ertinya terkorban

Rela terhina kerana kebenaran

Antara dua pasti terjadi

Tunggulah syahid atau menang.

08 November, 2008

PERSAMA Menyokong Penuh Perlantikan NC Baru Universiti Malaya


Persatuan Mahasiswa Melaka Universiti Malaya ( PERSAMA ) menyokong penuh perlantikan Profesor Datuk Dr. Gauth Jasmon selaku Naib Canselor Universiti Malaya yang baru. Profesor Datuk Dr. Gauth Jasmon merupakan Naib Canselor yang ke - 10 Universiti Malaya adalah bekas Presiden Universiti Multimedia (MMU). Sebelum beliau dilantik sebagai Presiden Universiti Multimedia, beliau merupakan bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya pada tahun 1995 dan juga merupakan bekas Dekan Fakulti Kejuruteraaan Universiti Malaya.

PERSAMA berpendapat perlantikan beliau tepat berdasarkan kelayakan akademik dan komitmen yang ditunjukkan beliau dalam memajukan Universiti Multimedia ( MMU ) dari sebuah institut dinaik taraf sebagai salah sebuah universiti terkemuka dinegara ini. Disamping itu, perlantikan beliau juga boleh diibaratkan sebagai sirih pulang ke ganggang kerana beliau pernah berkhidmat di Universiti Malaya.

Selain itu, PERSAMA juga ingin mengucapkan jutaan penghargaan kepada mantan Naib Canselor Universiti Malaya yang ke-9 Datuk Rafiah Salim atas komitmen dan usaha beliau bagi meningkatkan kedudukan Universiti Malaya yang agak sedikit merosot sebelum ini.

Mengimbau perlantikan Datuk Rafiah Salim sebagai Naib Canselor UM pada 1 Mei 2006 yang dianggap sebagai bersejarah kerana beliau merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan tersebut, apatah lagi berkhidmat sebagai Naib Canselor di universiti paling berprestij di negara. Mungkin selama hampir 2 tahun setengah tidak banyak yang mampu dilakukan oleh beliau dalam menjadikan Universiti Malaya sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi yang ternama di peringkat antarabangsa dalam penyelidikan, inovasi, penerbitan dan pengajaran sebagaimana dalam visi Universiti Malaya.

Justeru, harapan diperingkat PERSAMA agar Naib Canselor Universiti Malaya yang baru dapat meneruskan legasi beliau disamping penambahbaikan dari sudut hubungan komunikasi dan kebajikan warga Universiti Malaya. PERSAMA juga memohon pertimbangan diperingkat Kementerian Pengajian Tinggi ( KPT ) agar perlantikan Naib Canselor yang baru ini dipanjangkan tempoh pentadbiran supaya segala perancangan yang direncanakan dapat difahami serta dihayati seterusnya dapat diaplikasikan dalam bentuk yang lebih sistematik dan efektif.

Mohd Khairul Hidayat Berahim
PRESIDEN
Persatuan Mahasiswa Melaka
Universiti Malaya ( PERSAMA )

07 November, 2008

PERUBAHAN, CHANGE, AT – TAGHYIR

7 Nov – Teringat kata – kata seorang murabbi yang mengatakan dalam sebuah pertemuan “ suatu perkara yang pasti akan berlaku iaitu perubahan ”. Setiap manusia akan mengalami perubahan samada perubahan tersebut berskala kecil atau pun besar. Mari kita berfikir sejenak...Apakah perubahan yang telah kita lakukan semenjak dari kita dilahirkan sehingga sekarang? Adakah perubahan tersebut memberikan impak yang positif atau sebaliknya?

Dalam dunia pendidikan juga kita digalakkan untuk melakukan perubahan dalam bentuk pengajaran dan pembelajaran supaya ia relevan dengan perubahan yang berlaku kepada pelajar. Kelmarin kuasa besar dunia telah mengalami perubahan tampuk kepimpinan dimana Barrack Obama telah dipilih selaku Presiden Amerika yang ke-44 bagi mewakili parti Demokrat. Saya tidak mahu mengulas isu ini ini dengan lebih lanjut kerana telah banyak media cetak dan media massa mengulasnya.

Alhamdulillah hari ini saya berjaya mengubah blog ini kearah yang lebih dinamik, mungkin sebelumni ia agak kelihatan kaku sedikit. Kepada semua pengunjung, saya mengharapkan semoga blog ini memberi manfaat kepada semua. Segala teguran dan kritikan amat – amat dialukan.

05 November, 2008

CHANGE, we Need!!! : Obama Presiden Baru Amerika


CHICAGO: Presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Barack Obama berjanji akan melakukan perubahan dalam ucapan sulung selepas menjadi warga berkulit hitam pertama berkuasa di Rumah Putih.

Ia satu perjalanan yang jauh. Tapi malam ini, tiba hari nya dalam pilihan raya saat yang bermakna, perubahan sudah tiba bagi Amerika," katanya di hadapan lebih 65,000 penyokongnya di sini

Beliau turut berterima kasih kepada pasukan kempennya, iaitu isteri, anak dan mendiang neneknya yang meninggal sehari sebelum pembuangan undi, semalam.

Beliau berkata: “Saya tidak pernah bayangkan untuk ke Rumah Putih. Kami tidak bermula dengan banyak wang atau cadangan. "Kempen kami tidak bermula di Washington, ia bermula di lorong belakang di Des Moines, bilik tetamu atau ruang depan Charleston.” - AP

P/S : Sudah tiba masanya seluruh Mahasiswa & Rakyat Malaysia Melakukan PERUBAHAN...

02 November, 2008

PEPERIKSAAN DAN PERJUANGAN


01 November, 2008

RELEVANKAH USRAH BAGI AHLI GERAKAN KAMPUS?


Hingga ke saat ini, telinga saya terngiang – ngiang dengan persoalan yang berlegar – legar disekitar ahli gerakan. Usrah ditempat kami tidak bergerak? Naqib tidak menjalankan usrah? Naqib tidak yakin ? rombak silibus ? Semua berikut adalah contoh soalan yang sama dan sering diulang – ulang...

Apakah yang dah berlaku dengan organisasi dakwah kita dikampus ? Adakah kualiti ahli yang dilahirkan semakin merosot. Adakah usrah yang dijalankan tidak berkualiti? adakah usrah masih relevan diwaktu sekarang? Ataupun hanya cukup sekadar kita melakukan program - program pengisian untuk menarik mad’u menyertai organisasi dakwah kampus. Sengaja saya timbulkan persoalan - persoalan diatas sebagai medan muhasabah untuk kita fikir bersama jalan penyelesaiannya.

Realitinya yang berlaku bukan disebabkan usrah TETAPI masalah ahli itu sendiri yang sering bermain – main dengan alasan yang direka sendiri bagi melepaskan diri daripada amanah yang ditaklifkan.Kebiasaanya ahli tahu dan faham tentang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan tetapi KESEDARAN untuk melaksanakan amanah tersebut amat berkurangan.

Senarai dibawah merupakan beberapa punca yang menyebabkan usrah itu tidak relevan :

1. Naqib hanya melaksanakan usrah dalam jadual – jadual yang ditentukan sahaja sepatutnya usrah itu mesti dijadikan amalan dalam kehidupan ahli gerakan.
2. Usrah hanya tempat naqib untuk bermain dengan kata - kata retorik bagi meyakinkan mad’u tetapi tidak menjadi praktikaliti dalam kehidupan.
3.Naqib hanya berpandukan silibus semata – mata,sepatutnya mencari rujukan tambahan
4.Usrah hanya bersifat satu hala sahaja, naqib mendominasi perbincangan
5.Naqib tidak berjaya meyakinkan mad’u dengan fakta dan thaqafah yang berkualiti
6.Usrah yang tidak mempunyai konsistensi, banyak yang tertangguh
7.Usrah tidak ada misi yang ditaklifkan..jadi eksklusif..jadi idealis..jadi tok wali je.
8.Unit usrah tidak jadi unit komando yang sentiasa bersedia diarahkan..

Sedar atau tidak sedar sebenarnya kita telah mengkhianati amanah yang ditaklifkan apabila kita bermain dengan alasan. Kita bukan sahaja berdosa dengan organisasi tetapi yang paling besar kita telah berdosa dengan ALLAH. Rasionalnya mari kita renungi maksud firman Allah :

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

( al – Baqarah: 286 )