Hanya 45 peratus rakyat menyatakan rasa puas hati dengan prestasi Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang mengambil alih tampuk kepimpinanan sebagai Perdana Menteri dua bulan lalu.
Dalam tinjauan pendapat yang dijalankan oleh firma penyelidikan Merdeka Centre dari 6-15 Mei lalu - membabitkan 1,067 pengundi berdaftar - ia bertanya secara khusus pandangan mereka terhadap prestasi Najib dalam bidang politik, ekonomi dan isu-isu sosial selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri keenam.
Memeranjatkan bahawa masyarakat India memberi sokongan terbesar - dengan 64 peratus puas hati dengan prestasi Najib - selepas mengambil alih dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ini diikuti oleh pengundi Melayu dengan 53 peratus puas hati dengan prestasi Najib.
Manakala bagi masyarakat Cina pula, sebahagian besarnya tidak memberi respons, dengan 53 peratus enggan menjawab soalan, dan hanya 24 peratus menyatakan puas hati dengan prestasi Najib.
Najib yang dilantik Perdana Menteri 3 April lalu menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dalam respons kepada soalan tentang isu penting yang perlu ditangani Perdana Menteri, soal ekonomi mendapat tempat utama.
Soal ekonomi menjadi pilihan 35 peratus responden dan disusuli tujuh peratus meminta agar menyediakan layanan adil kepada semua kaum.
Isu krisis Perak menduduki tempat ketujuh dengan sokongan tiga peratus responden. Isu-isu politik tidak mendapat perhatian kalangan responden, sebaliknya mahu Najib tangani segera isu ekonomi.

0 ulasan:
Post a Comment